Ewon luluskan RM200,000 bina Tamu Desa baharu di Kampung Tinata
- nabalunews
- Jun 28
- 1 min read

28 Jun 2025
KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick meluluskan peruntukan sebanyak RM200,000 untuk membina baharu premis Tamu Desa di Kampung Tinata, yang dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi tempatan terutama dalam kalangan usahawan tani dan kraftangan, kampung itu.
Beliau berkata, pembinaan Tamu Desa itu akan dilaksanakan tahun ini di bawah Projek Pembangunan Premis Tamu Desa oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
“Saya menerima permohonan daripada komuniti usahawan, khususnya Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) agar dibina Premis Tamu Desa di kampung ini sebagai tempat mereka berjualan.

“Ini sangat penting memandangkan jalan Podos, yang menjadi laluan utama ke kampung ini, sedang dinaik taraf dan pembinaan Premis Tamu Desa itu bukan sahaja memberi ruang niaga lebih selesa kepada usahawan di kampung ini tetapi juga menarik lebih ramai pembeli dari luar apabila jalan siap sepenuhnya nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan sambutan Pesta Kaamatan Kg.Tinata, di sini, kelmarin.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian menyatakan keyakinan bahawa kemudahan akan membuka peluang ekonomi yang lebih baik bukan sahaja kepada usahawan tani dan kraftangan, tetapi juga merancakkan sektor pelancongan komuniti di kampung itu.
Dalam pada itu, Ewon turut menjelaskan bahawa pembinaan Tamu Desa merupakan antara inisiatif yang dikemukakan oleh KUSKOP dalam cadangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi tempoh 2026 - 2030.

“Antara fokus kita dalam RMK-13 adalah memberi tumpuan tambahan kepada pembangunan usahawan dan koperasi di Malaysia Timur, khususnya di Sabah dan Sarawak. Kita telah mengemukakan pelbagai cadangan dan saya amat menghargai Perdana Menteri serta Kementerian Ekonomi yang mengambil kira perkara ini,” katanya.
Comments