Ewon mahu gerakan koperasi di negara ini diperkasa
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon mahu gerakan koperasi di negara ini diperkasa


23 Mei 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick mengalu-alukan kerjasama antara koperasi-koperasi dari satu wilayah atau negeri bagi mewujudkan ekosistem gerakan Koperasi MADANI.


Beliau berkata, kerjasama itu juga penting bagi memakmurkan ekonomi negara, memperkukuhkan kesejahteraan rakyat seterusnya memberi manfaat kepada ahli koperasi dan rakyat secara keseluruhannya.


“Saya mahu melihat gerakan koperasi diperkasakan lagi melalui kerjasama antara koperasi-koperasi di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Gerakan Koperasi, di Dewan Perdana Menara Suruhanjaya Koperasi Malaysia, di sini, hari ini.


Eown berkata, berdasarkan statistik gerakan koperasi di seluruh negara, setakat 31 Disember tahun lalu, sebanyak 15,315 buah koperasi berdaftar dengan jumlah keanggotaan seramai 7.3 juta orang dengan modal syer/ yuran terkumpul berjumlah RM16.99 bilion.


Katanya, ia menunjukkan koperasi mampu memberikan sumbangan besar kepada ekonomi negara dan mewujudkan satu rangkaian perniagaan yang kukuh dan mampan.


“Ini diperkukuhkan lagi dengan rekod kedudukan aset secara keseluruhannya sebanyak RM159.6 bilion.

“Manakala sumbangan perolehan koperasi juga dilihat memberangsangkan pada 2022 iaitu melebihi RM45.50 bilion dan menunjukkan sumbangan besar kepada ekonomi negara kita,” katanya.


Mengenai Pelan Antirasuah Organisasi (OACP), Ewon berkata, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah membangunkan OACP SKM 2023-2025.


“Saya mengalu-alukan Pelan Antirasuah Organisasi ini dan saya percaya semua agensi di bawah kementerian saya juga mempunyai pelan antirasuah masing-masing.


“Ini menunjukkan perkhidmatan awam di peringkat agensi dan kementerian mempunyai kesungguhan memperbaiki tatakelola dan integrity menolak rasuah.

“Ianya penting untuk kita semua supaya sentiasa memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan menolak sebarang unsur rasuah,” katanya.


Beliau berkata, Pelan Antirasuah Organisasi ini adalah satu dasar yang mencerminkan kesungguhan warga SKM membenteras segala bentuk aspek rasuah dalam organisasi, terutamanya dalam membangunkan koperasi.


Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Saraswathy Kandasmy, Timbalan Pengerusi Eksekutif SKM Datuk Umar Sarim Saidin, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Zamri Salleh dan ketua-ketua agensi di bawah kementerian.

bottom of page