Ewon mahu Kompleks Keusahawanan Desa dan fasa 3 pembangunan Tamu Taginambur diteruskan
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon mahu Kompleks Keusahawanan Desa dan fasa 3 pembangunan Tamu Taginambur diteruskan

Ewon (tengah) melawat Kompleks Keusahawanan Desa di Taginambur, turut hadir Winnie (tiga kiri) dan pegawai-pegawai dari Pejabat Adun Kadamaian dan Pejabat Menteri.

9 Disember 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick mahu kompleks keusahawanan desa Kadamaian di Taginambur yang beliau mulakan sebelum ini diteruskan oleh Kerajaan.


Menurutnya, kompleks tersebut dibangunkan semasa beliau menjawat Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah pada tahun 2018 hingga 2020.

Dalam tempoh dua tahun tersebut, beliau telah menyalurkan peruntukan bagi menebus guna tanah dan membina dua bangunan keusahawanan desa.


Pembinaan empat bangunan keusahawanan dan satu deretan gerai penjaja tidak dilaksanakan selepas beliau berada di luar kerajaan selepas itu.

“Dalam kunjungan pertama saya ke DUN Kadamaian sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, saya mengunjungi kompleks ini dan menyatakan wawasan saya kepada Pejabat Daerah Kota Belud supaya pembangunan kompleks ini diteruskan.


“Saya akan berbincang dengan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah agar pembangunan kompleks ini diteruskan melalui pembiayaan bersama Kerajaan Sabah dan Kerajaan Persekutuan.


“Saya mahu melihat pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Kadamaian, 2020-2035 yang turut mencakupi pembangunan kompleks keusahawanan ini dijayakan oleh Kerajaan,” katanya.

Lawatan Ewon di Kadamaian square

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian menyatakan demikian selepas mengadakan kunjungan ke kompleks tersebut dan seterusnya Kadamaian Square bersama dengan Penolong Pegawai Daerah Kota Belud Winnie Anggon.


“Selain itu, saya ingin meneruskan pembangunan fasa ketiga Kadamaian Square dan Tamu Taginambur iaitu pembinaan landskap, taman permainan kanak-kanak, parit keliling tamu dan kemudahan lain dapat dibina pada tahun hadapan.


"Saya akan berbincang dengan Menteri lain yang berkaitan agar peruntukan dapat disediakan untuk tujuan ini.

“Sebagai menteri yang bertanggungjawab melihat hal ehwal penjaja, saya mahu memulakan pembelaan penjaja bermula di Kadamaian dan Penampang bagi menyediakan kemudahan dan program sokongan yang berkaitan kepada mereka.


“Sambutan Hari Penjaja pada 22 Disember ini akan diadakan di Putrajaya kerana ianya telah dirancang lebih awal oleh Kementerian. Tetapi pada tahun hadapan, saya mahu sambutan ini diadakan di Kadamaian. Sebab itu kemudahan di sini perlu dinaiktarafkan dalam fasa tiga ini,” katanya.

bottom of page