top of page

Ewon mahu SEDCO dan anak syarikat pacu pendapatan negeri

  • nabalunews
  • 1 hour ago
  • 2 min read

ree

4 Disember 2025


KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, SEDCO dan anak-anak syarikat di bawahnya perlu meningkatkan sumbangan pendapatan kepada kerajaan negeri menerusi dividen yang lebih konsisten dan berdaya saing.


Beliau berkata, ini kerana SEDCO berperanan penting dalam pembangunan keusahawanan serta pelaburan negeri.


“SEDCO mempunyai banyak anak syarikat yang diberi mandat khusus untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing. Antara harapan utama kerajaan adalah agar anak-anak syarikat ini dapat menyumbang semula kepada Kerajaan Negeri Sabah dalam bentuk dividen.

ree

“Saya menghargai segala usaha yang telah dilaksanakan sehingga hari ini. Namun, saya juga berharap agar agensi serta anak-anak syarikat di bawah SEDCO dapat mencetuskan kejayaan yang lebih besar supaya sumbangan hasil dalam bentuk dividen dapat dipertingkatkan.


“Dividen itu penting untuk digunakan bagi tujuan pembangunan negeri Sabah sama ada dikembalikan kepada kementerian ini ataupun digunakan untuk pembangunan lain seperti pembasmian kemiskinan, pendidikan, kesejahteraan rakyat dan sebagainya,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan kunjungan pertama dan menerima taklimat mengenai SEDCO, di Wisma SEDCO, di sini, hari ini.

ree

Dari segi kerjasama antara kerajaan negeri dan persekutuan, Ewon berkata ia perlu dioptimumkan melalui platform penyelarasan yang telah wujud, khususnya Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Keusahawanan, bagi memastikan tuntutan belanjawan dan keperluan pembangunan Sabah mendapat perhatian sewajarnya dalam pembentangan belanjawan Persekutuan.


Ewon berkata fokus utamanya bermula 2027 adalah memastikan lebih ramai rakyat Sabah mempunyai pendapatan stabil melalui keusahawanan dan pasaran pekerjaan yang lebih aktif.


“Bermula 2027, fokus besar saya di kementerian ini ialah membangunkan lebih ramai rakyat Sabah yang mempunyai pendapatan stabil sama ada melalui keusahawanan atau bekerja dengan syarikat yang dimiliki usahawan tempatan.

ree

“Saya tidak mahu Sabah terus dikaitkan sebagai negeri yang mempunyai daerah termiskin dan rakyat yang tersenarai dalam kategori miskin. Justeru, pembangunan keusahawanan adalah antara cara untuk memastikan rakyat, graduan serta anak muda mempunyai peluang pekerjaan dan pendapatan,” katanya.


Katanya lagi, jika semua pelan dilaksanakan dengan baik, Sabah mampu meningkatkan pendapatan rakyat dalam tempoh lima tahun akan datang dan seterusnya keluar daripada stigma negeri termiskin.


Dalam masa yang sama, Ewon berkata bajet negeri yang akan dibentangkan pada 12 Disember ini dijangka mengekalkan asas rancangan sedia ada kerana penyediaannya telah dibuat sebelum pembentukan kabinet baharu.

ree

Bagaimanapun katanya, bermula tahun 2027 kementerian akan memperkenalkan agenda baharu yang memerlukan sokongan belanjawan lebih besar.


Sehubungan itu Ewon berkata, kementerian dan agensi perlu menunjukkan prestasi yang baik.


“Saya melihat kepada keperluan anak-anak syarikat di bawah SEDCO, KKIP, POIC dan SOGDC, apabila mereka mampu menyumbang semula dividen kepada kerajaan, kementerian ini mempunyai asas kukuh untuk memohon belanjawan lebih besar bagi melaksanakan program, inisiatif pelaburan, keusahawanan dan kini juga pengangkutan.


“Saya juga ingin melihat kerjasama dan penyelarasan yang lebih efektif dengan kerajaan Persekutuan bagi memastikan portfolio pengangkutan dapat diperkukuh dan dilaksanakan secara holistik demi manfaat rakyat Sabah,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page