Ewon mahu taraf peniaga, penjaja kecil dipertingkatkan
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon mahu taraf peniaga, penjaja kecil dipertingkatkan



17 November 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick mahu taraf peniaga kecil dan penjaja dapat dipertingkatkan agar mencapai standard yang lebih tinggi.


Beliau berkata, ini penting bagi membuka lebih banyak peluang usahawan berkenaan akses kepada pelbagai program pembangunan perniagaan yang dilaksanakan oleh agensi termasuk kemudahan pembiayaan dana fasilitasi dan berpeluang meluaskan jaringan mereka.


“Jika sebelum ini kita berniaga secara tradisional, sekarang, kita perlu menjadi lebih berani untuk meneroka aplikasi digital yang akan membantu perkembangan perniagaan anda.


“Justeru, saya menggesa agar para peserta Program SME Bank iTEKAD Penjana Komuniti ini berani mengambil langkah melakukan anjakan paradigma dengan mengadaptasikan segala pengetahuan baharu dalam perniagaan,” katanya.



Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan majlis Penyerahan Dana Fasilitasi Program SME Bank Itekad Penjana Komuniti, di Pacific Ballroom, Hotel Seri Pacific, di sini, kelmarin.


Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Senator Saraswathy Kandasami, Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif Sme Bank Datuk Wira (Dr.) Aria Putera Ismail dan Ketua Pegawai Strategi Korporat Kumpulan SME Bank Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim.


Ewon berkata, kerajaan menyokong program ini kerana ia berfungsi sebagai platform untuk mencetuskan transformasi positif dan bertindak sebagai penggerak memastikan daya tahan perniagaan para peserta program.


“Pelaksanaan program SME Bank iTEKAD Penjana Komuniti ini selari dengan objektif Pelan Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil (P3PK) 2023-2027, iaitu hala tuju baharu dan menyeluruh bagi melonjakkan semula pembangunan perniagaan penjaja dan peniaga kecil.



“Melalui P3PK ini, kerajaan berhasrat agar taraf peniaga kecil dan penjaja dapat dipertingkatkan agar mencapai standard yang lebih tinggi,” katanya.


Beliau berkata, berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pencapaian sektor perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 11.6 peratus pada 2022, mengatasi pertumbuhan KDNK negara pada 8.7 peratus.


“Oleh itu, saya menyeru usahawan merebut peluang yang disediakan oleh kerajaan melalui agensi-agensi KUSKOP seperti SME Bank dan CEDAR, SME Corp dan TEKUN Nasional untuk memajukan perniagaan ke peringkat lebih tinggi.


“Peluang sentiasa ada, kita hanya perlu tangkas mempertingkatkan keupayaan sendiri dan perniagaan bukan sahaja untuk kekal bertahan tetapi mencapai kejayaan yang lebih besar,” katanya.




bottom of page