Ewon mahu YBR tawarkan pembiayaan kepada pelajar di UKKM
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon mahu YBR tawarkan pembiayaan kepada pelajar di UKKM

10 Mei 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick mahu Yayasan Bank Rakyat (YBR) menawarkan pembiayaan pengajian kepada para pelajar yang melanjutkan pelajaran di Universiti Keusahawanan dan Koperasi Malaysia (UKKM).


Beliau berkata, ini adalah galakan kepada para pelajar melanjutkan pengajian khusus dalam bidang keusahawanan dan koperasi seterusnya menyumbang kepada pembangunan keusahawanan dan koperasi di negara ini.


“Seperti mana kerjasama YBR dengan universiti-universiti lain di seluruh negara untuk menyediakan pembiayaan pengajian boleh ubah atau biasiswa, saya juga menyarankan supaya YBR bekerjsama dengan UKKM iaitu sebuah universiti baharu yang dilancarkan tahun lepas di bawah kendalian Institut Koperasi Malaysia (IKMa).


“UKKM mengkhususkan pengajian dalam bidang keusahawanan dan koperasi. Universito ini diletakkan di bawah tanggungjawab saya atas portfolio menjaga agensi IKMa,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan penyampaian Anugerah Biasiswa Kecemerlangan Akademik YBR, di sini, kelmarin.


Ewon juga berharap agar UKKM menjadi satu pusat pengajian tinggi pilihan pelajar lepasa SPM, STPM dan Matrikulasi untuk melanjutkan pengajian dalam bidang keusahawanan dan koperasi.


“Pada masa ini UKKM menawarkan lima program pengajian dalam bidang keusahawanan dan koperasi. Saya berharap dengan adanya kerjasama antara YBR dan UKKM akan membuka peluang kepada para pelajar kita yang mungkin tidak menerima tawaran melalui proses UPU.


“Mereka boleh memohon di UKKM sebagai satu pilihan dan saya juga ingin melihat YBR menawarkan pembiayaan yang sama kepada para pelajar di universiti ini,” katanya.


Beliau berkata, sehingga kini lebih 15,000 koperasi dengan keanggotaan 7.3 juta orang di seluruh negara dan perolehan RM64 bilion pada tahun lalu.


“Ini menunjukkan sumbangan kepada KDNK begitu besar dan sudah tentu kita memerlukan pentadbir-pentadbir dan para pemimpin koperasi yang bukan hanya mempunyai kepakaran kepimpinan dalam bidang koperasi tetapi juga mempunyai latar belakang pengajian dalam bidang pentadbiran koperasi,” katanya.


Sehubungan itu beliau mengalu-alukan anak-anak anggota koperasi atau pelajar yang menganggotai mana-mana koperasi untuk melanjutkan pengajian di peringkat diploma, sarjana muda, sarjana atau PHD di UKKM.


“Pada ketika ini melalui SKM dan ANGKASA, kita juga menawarkan pembiayaan dan biasiswa khas untuk anak-anak anggota koperasi. Oleh itu saya juga ingin melihat YBR menjadi sebahagian daripada penawaran pembiayaan di UKKM,” katanya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page