Ewon menang tanpa tanding Ketua Bahagian UPKO Kota Belud
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon menang tanpa tanding Ketua Bahagian UPKO Kota Belud


Ewon (lima dari kanan), Carlye (tiga kanan), Saikom (dua kanan) dan Sipail (kanan) bersama AMT UPKO.

17 Mei 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Datuk Ewon Benedick menang tanpa tanding pada pemilihan parti peringkat Bahagian seterusnya mengekalkan jawatan Ketua Bahagian Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Kota Belud bagi sesi 2022-2025.


Turut diumumkan memang tanpa tanding ialah Carlye Lajimin, kekal jawatan Timbalan Ketua Bahagian UPKO Kota Belud.



Naib-Naib Ketua Bahagian pula dimenangi oleh Saikom Watis dan Sipail Kota.


Pengerusi Penganjur Mesyuarat Tritahunan UPKO Bahagian Kota Belud, Maikat Gindara berkata, sebanyak 111 borang pencalonan telah diedarkan dan 99 borang pencalonan dikembalikan.


Maikat Gindara

“Daripada 99 borang itu, calon tunggal ialah Datuk Ewon Benedick. Berdasarkan sokongan itu, kita mahu mengangkat beliau menjawat jawatan lebih tinggi dalam UPKO Pusat iaitu menerajui parti ini sebagai Presiden,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tritahunan UPKO Bahagian Kota Belud, di Dewan Kadamaian Square, Taginambur, di sini, kelmarin.


Maikat berkata, UPKO memerlukan seorang pemimpin baharu yang bertenaga dan mampu memberi inspirasi bukan sahaja kepada parti tetapi juga rakyat Sabah.



“Datuk Ewon seorang pemimpin yang setia terhadap parti, mendengar dan prihatin keperluan rakyat khususnya Kadamaian dan Kota Belud.


“Semasa beliau menjawat jawatan sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, beliau banyak menyumbang projek besar khususnya di Kadamaian, contohnya Kadamaian Square.


“Di peringkat kampung pula, banyak bangunan telah dibina. Walaupun dalam masa yang singkat namun kita telah melihat kepimpinan beliau yang begitu cemerlang.


“Sekarang ini walaupun dalam blok pembangkang, beliau masih aktif melawat dan memenuhi keperluan rakyat Kadamaian,” katanya.



Maikat berkata, Ewon juga memperkenalkan Program Sentuhan Kasih Rakyat Kadamaian.


“Sentuhan Kasih Rakyat Kadamaian bertujuan membantu ibu-ibu yang baru melahirkan anak dan keluarga yang kehilangan ahli keluarga. Program ini beliau mulakan sejak 2018 dan diteruskan sehingga kini,” katanya.


Mesyuarat itu dirasmikan oleh Timbalan Presiden UPKO Datuk Donald Peter Mojuntin.

bottom of page