• Wartawan Nabalu News

Ewon, Phoong gesa Jeffrey bentang usul tangani Covid-19 pada sidang DUN


31 Ogos 2021 Oleh Wartawan Nabalu News KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick dan Adun Luyang Phoong Jin Zhe menggesa Datuk Dr.Jeffrey Kitingan membentangkan usul daripada kerajaan untuk membuat enakmen bagi membolehkan Kerajaan Negeri mempunyai kuasa yang lebih baik untuk menangani pandemik Covid-19. Dalam kenyataan bersama Naib Presiden Upko dan Ketua Pemuda Pakatan Harapan itu, mereka akan menyokong usul berkenaan sekiranya dibentangkan oleh kerajaan untuk diwartakan semasa sidang DUN akan datang. “Memandangkan Jeffrey merupakan ahli kabinet Kerajaan, kami pasti menyokong sekiranya beliau dapat membentangkan usul daripada kerajaan ini untuk diwartakan semasa sidang DUN akan datang sekiranya beliau benar-benar ikhlas mengenai usul ini. “Kami telah mengemukakan usul khas di bawah Peraturan Tetap 31 (2) supaya satu ketetapan untuk membuat enakmen baharu berkaitan pencegahan dan pengawalan penyakit seterusnya memberi bidang kuasa yang lebih baik kepada Kerajaan Negeri untuk membuat keputusan penting bagi menyokong sistem kesihatan kita semasa berhadapan dengan pandemik Covid-19 ini. “Jika Jeffrey berniat ikhlas dalam perkara ini, beliau sepatutnya yang membentang usul ini daripada kerajaan. Ini kerana dalam sistem parlimen Westminster, usul-usul dan urusan-urusan Kerajaan sentiasa akan dibentangkan di DUN,” katanya dalam kenyataan itu, hari ini. Ketika diminta mengulas mengenai usul itu, Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr.Jeffrey dalam laporan media berkata, enakmen berkenaan perlu disediakan agar Sabah mempunyai bidang kuasa yang diperlukan dalam usaha menangani pandemik Covid di negeri ini. Ewon dan Phoong berpendapat, dalam usaha memperkasakan Kerajaan Negeri, sepatutnya mempunyai kuasa yang lebih besar dalam isu-isu berkaitan kesihatan. “Contohnya seperti program vaksinasi. Ini juga dapat mengurangkan kebergantungan kepada Kerajaan Persekutuan serta membolehkan tindakan cepat bagi menghadapi kes harian yang semakin meningkat di Sabah. “Kita akan berhadapan dengan krisis kesihatan dan ekonomi yang lebih teruk jika kita terus bersikap tunggu dan lihat. Sistem kesihatan di Sabah semakin tenat kerana berhadapan dengan kekurangan infrastruktur dan sumber manusia,” katanya. Ewon dan Phoong berkata, Kerajaan Negeri harus memberi tumpuan besar kepada perkara ini dan membuat enakmen baharu yang memberi kuasa kepada Kerajaan Negeri bagi menyediakan sumber dan juga menubuhkan kementerian yang bertanggungjawab kepada hal-hal berkaitan kesihatan awam Sabah. “Sepertimana yang kita tahu, Sabah berhadapan dengan peningkatan kes yang sangat tinggi iaitu pada kadar 27 peratus. “Ini merupakan krisis terbesar pasca-merdeka dan kita mesti menanganinya bersama-sama. “Oleh itu kami berharap Jeffrey sebagai Timbalan Ketua Menteri akan mengambil tindakan yang lebih wajar dan bukan memberi respon di media semata-mata. Inilah masanya Jeffrey membuktikan ketegasan beliau mengenai hak-hak autonomi Sabah yang beliau laungkan selama ini,” katanya.