Ewon promosi pengajian Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia kepada pelajar
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon promosi pengajian Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia kepada pelajar Sabah




Sabah 25 April 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KUNDASANG: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick mengalu-alukan pelajar Sabah khususnya yang berminat dalam bidang keusahawanan supaya melanjutkan pengajian di Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM).


Beliau berkata, UKKM yang dikendalikan oleh Institut Koperasi Malaysia (IKMa), satu daripada agensi di bawah kementeriannya menawarkan lima pengajian peringkat diploma, Bachelor dan Master.



“Lima pengajian ini telah mendapat pengiktirafan daripada Lembaga Akreditasi. Setakat ini ada beberapa pelajar dari Sabah yang telah kita bantu dan berjaya mengikuti pengajian di UKKM,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Graduasi Tingkatan 6, SMK Narinang, di Hotel Perkasa, di sini, hari ini.


Ewon berkata, pelajar yang melanjutkan pengajian di UKKM boleh memohon biasiswa daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan.



“Saya ingin melihat, semua yang bergraduasi pada hari ini memohon UPU dan berjaya melanjutkan pengajian ke institut pengajian tinggi awam (IPTA) serta mengalu-alukan graduan ini melanjutkan pengajian dalam bidang keusahawanan, pentadbiran perniagaan dan pentadbiran koperasi di UKKM.


“UKKM adalah universiti khas keusahawanan dan koperasi pertama di Malaysia,” katanya.


Ewon berkata, Yayasan Bank Rakyat (YBR) juta menawarkan Pembiayaan Boleh Ubah kepada para pelajar di IPTA, iaitu pembiayaan (pinjaman) pendidikan yang boleh diubah menjadi biasiswa sekiranya seseorang pelajar itu mencapai keputusan cemerlang setiap semester di sepanjang pengajian.



“Oleh itu para pelajar yang tidak mendapat biasiswa atau tidak mendapat pembiayaan melalui PTPTN boleh memohon pembiayaan pendidikan daripada YBR,” katanya.


Beliau berharap inisiatif-inisiatif yang disediakan oleh agensi-agensi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dari segi pendidikan dapat membantu para pelajar seterusnya menjadi usahawan berjaya, ahli korporat dan koporator yang berjaya pada masa akan datang.

bottom of page