Ewon rasmi kilang ke-3 Norcy BeautyLab
- nabalunews
- 5 hours ago
- 1 min read

6 April 2026
KUDAT: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick hari ini merasmikan kilang ketiga Norcy BeautyLab Sdn. Bhd. di Matunggong.
Kilang tersebut dimiliki oleh usahawan wanita tempatan, Norsiah Ahiddin, yang sebelum ini telah membuka mini kilang pertama di Pusat Keusahawanan Matunggong serta kilang kedua di Nilai, Negeri Sembilan.
Ewon berkata, pembukaan kilang ketiga itu merupakan satu pencapaian membanggakan bukan sahaja kepada usahawan berkenaan, tetapi juga kepada pembangunan sektor keusahawanan di Sabah.

“Kejayaan ini membuktikan bahawa usahawan tempatan mampu berkembang daripada skala kecil kepada perusahaan yang lebih besar sehingga menembusi pasaran luar negeri,” katanya ketika berucap merasmikan kilang itu, di sini, hari ini.
Ewon turut menegaskan bahawa kerajaan negeri melalui MINDET akan terus memberikan sokongan kepada usahawan tempatan, termasuk bantuan geran, pembiayaan serta peluang penyertaan dalam ekspo perdagangan.
Menurutnya, usaha tersebut selaras dengan aspirasi Sabah First, iaitu melahirkan lebih ramai rakyat Sabah yang berpendapatan sama ada sebagai pemilik perniagaan atau tenaga kerja.
Pembukaan kilang tersebut turut memberi impak positif kepada ekonomi setempat dengan menyediakan sekurang-kurangnya 15 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
Dalam majlis tersebut, Ewon turut menyatakan sokongan beliau dengan membeli produk keluaran Norcy BeautyLab untuk dikongsikan bersama rombongan yang hadir.















Comments