Ewon Rasmi Premis Tamu Desa Kinasaraban Bernilai RM200,000
- nabalunews
- Jun 29
- 2 min read

29 Jun 2025
KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick merasmikan Premis Tamu Desa Kinasaraban, satu daripada 98 premis Tamu Desa yang dilaksanakan di Sabah dan Sarawak, tahun lalu.
Beliau berkata, premis Tamu Desa bernilai RM200,000 itu dibiayai oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) di bawah Projek Pembangunan Premis Tamu Desa iaitu inisiatif baharu kementerian untuk membantu para usahawan dan peniaga tamu khususnya di Sabah serta Sarawak.
"Projek ini merupakan sebahagian daripada inisiatif di bawah Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara yang saya laksanakan di KUSKOP yang antara lainya yang memberi tumpuan khusus kepada keperluan dinamik sektor keusahawanan di Sabah dan Sarawak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Premis Tamu Desa Kinasaraban sempena sambutan Pesta Kaamatan, di Dewan Terbuka Tamu Desa itu, di sini, pada Jumaat.
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, berkata pengwujudan inisiatif Tamu Desa adalah ilham daripada Kadamaian yang beliau bawa ke kementerian selepas pelancaran Pelan Pembangunan Kadamaian 2020-2035.
Katanya, inisiatif yang dimulakan sejak tahun 2024 itu menunjukkan impak positif dalam meningkatkan ekonomi dan kesejahteraan komuniti setempat selain memperkasa usahawan kecil dan komuniti luar bandar khususnya di Sabah dan Sarawak.

"Saya berharap kemudahan ruang niaga tetap baharu ini akan memberikan keselesaan kepada para usahawan tamu di kampung ini, yang sebelum ini menjalankan perniagaan di gelanggang futsal.
"Kemudahan ini juga boleh dimanfaatkan untuk tujuan pertemuan mingguan Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Sahabat TEKUN, selain digunakan bagi pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan,” katanya.
Pada majlis itu, Ewon turut menyampaikan peruntukan ADUN Kadamaian sebanyak RM8,000 kepada badan JKKK Kg Kinasaraban serta RM2,000 kepada Persatuan Belia Kg Kinasaraban.
Selain itu, RM6,000 masing-masing kepada Gereja SIB Kg Baru Kinasaraban, Gereja SIB Kg Tonibung Kinasaraban dan Gereja SDA Kg Kinasaraban.
Comments