Ewon rasmi Premis Tamu Desa Melangkap bernilai RM200,000
- nabalunews
- Jun 10
- 1 min read

10 Jun 2025
KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick merasmikan Premis Tamu Desa Melangkap, satu daripada 98 premis Tamu Desa yang dilaksanakan di Sabah dan Sarawak, tahun lalu.
Beliau berkata, premis Tamu Desa Tradisi Melangkap bernilai RM200,000 itu dibiayai oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi di bawah Projek Pembangunan Premis Tamu Desa iaitu antara inisiatif baharu kementerian untuk membantu para usahawan dan peniaga tamu khususnya di Sabah serta Sarawak.
“Di Mukim Melangkap, selain premis Tamu Desa, kita juga telah melaksanakan pelbagai projek berskala besar yang sedang dilaksanakan, antaranya pembinaan jambatan konkrit, penyukatan tanah di bawah Program PANTAS dan projek naiktaraf bangunan SK Melangkap,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Jom@Coop anjuran Institut Koperasi Malaysia (IKMA), Perasmian Premis Tamu Desa Melangkap dan sambutan Pesta Kaamatan Kg Melangkap Tiong, di sini, hari ini.
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, berkata pengwujudan inisiatif Tamu Desa adalah ilham daripada Kadamaian yang beliau bawa ke kementerian selepas pelancaran Pelan Pembangunan Kadamaian 2020-2035.

Sehubungan itu katanya, dalam Belanjawan 2024, Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM20 juta untuk melaksanakan Premis Tamu Desa dan tahun ini sebanyak RM20 juta untuk tujuan itu.

Pada majlis itu, Ewon turut menyampaikan peruntukan ADUN Kadamaian sebanyak RM10,000 kepada badan JKKK Kg Melangkap Tiong, RM5,000 masing-masing kepada Gereja SIB dan Gereja RC di Kg Melangkap Tiong dan juga peruntukan RM5,000 kepada Gereja SIB Kg Melangkap Noriou.
תגובות