Ewon salur lebih RM200,000 sepanjang 2021 laksana pelbagai program kemasyarakatan di Kadamaian

1 Mac 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick menyalurkan sejumlah RM252,225 peruntukan touch point Adun sepanjang tahun 2021 di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian.
Menurut Pegawai Perhubungan Khidmat Adun Kadamaian Dr. Rizoh Bosorang peruntukan touch point itu melibatkan program-program gotong-royong, sumbangan bakul makanan dan Program Sentuhan Kasih Adun.

Selain itu katanya, Ewon juga menyampaikan sumbangan untuk badan-badan keagamaan, badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan-persatuan komuniti di kawasan Kadamaian untuk membantu mereka melaksanakan program masing-masing.
“Sepanjang tahun 2021, sebanyak 32 program gotong-royong komuniti dilaksanakan melibatkan kira-kira 30 buah kampung di kawasan Kadamaian.
“Bagi sumbangan bakul makanan pula, Khidmat Adun Kadamaian turut memberikan sumbangan kepada 2,719 penerima yang dikuarantin dan terlibat dalam perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) sepanjang tahun lalu.
“Manakala sumbangan Program Sentuhan Kasih Adun Kadamaian seramai 76 penerima melibatkan pelajar yang melanjutkan pengajian, ibu tunggal dari golongan B40, Orang Kelainan Upaya (OKU), warga emas yang menjalani rawatan sakit kronik serta sumbangan kelahiran serta takziah,” katanya ketika dihubungi Nabalu News, hari ini.
Rizoh berkata, dalam rekod hanya RM200,000 peruntukan diterima oleh Adun Pembangkang dari kerajaan melalui Program Sentuhan Kasih Adun pada tahun 2021.
Mengenai sumbangan bakul makanan, beliau berkata sebahagian besar penerima tidak menerima sumbangan bantuan bakul makanan dari kerajaan GRS sepanjang tempoh darurat dan pelaksanaan PKP 3.0 tahun lalu.
“Kami berterima kasih atas keprihatinan Adun Kadamaian menyalurkan bantuan bakul makanan dan bantuan-bantuan lain untuk keperluan penduduk Kadamaian walaupun peruntukan agak terhad,” katanya.
Antara kampung yang terlibat dalam PKPD tahun lalu ialah Kampung Nahaba, Kg. Sayap, Kg.Tambulion Ulu, Kg. Pinolobu, Kg.Tuguson dan Kg. Tambulaung.
Comments