Ewon sambut baik hasrat DESANITA tubuhkan koperasi
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon sambut baik hasrat DESANITA tubuhkan koperasi

27 November 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menyambut baik hasrat Pertubuhan Pembangunan Wanita Desa (DESANITA) Pantai Barat Sabah, menubuhkan koperasi bagi membantu menjana pendapatan ahli-ahli pertubuhan itu.


Bagi tujuan itu, beliau meminta pertubuhan berkenaan menghubungi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bagi mempermudahkan urusan pendaftaran.


“Saya juga telah meminta supaya Desanita mengadakan perjumpaan dengan agensi-agensi di bawah kementerian saya seperti Tekun Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan SME Corp supaya mereka boleh membina gerakan keusahawanan di kalangan ahli-ahli.


“Desanita adalah sebuah badan bukan kerajaan yang telahpun ditubuhkan 20 tahun lalu dan aktif membantu membangunkan wanita dalam kepimpinan, keusahawanan, kebajikan dan program-program kemasyarakatan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan makan malam sempena sambutan Ulang Tahun Desanita, di sini, semalam.


Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, sebagai sokongan kepada pertubuhan itu meneruskan program kemasyarakatan dan keusahawanan, beliau bersetuju memberikan geran tahunan pentadbiran sebanyak RM50,000 daripada peruntukan khas menteri pada tahun depan.


“Saya akan memberikan geran tahunan pentadbiran kepada Desanita pada tahun depan agar lebih ramai wanita terlibat dalam pembangunan kepimpinan, keusahawanan, pendidikan dan juga aktiviti kemasyarakatan lain yang mereka laksanakan selama 20 tahun,” katanya.


Sementara itu Presiden DESANITA Clarice Irine Benedict Moiji merakamkan ucapan terima kasih kepada Datuk Ewon atas kemurahan hati memberikan sumbangan kepada pertubuhan itu.


“Sumbangan itu, kami akan gunakan untuk melaksanakan program-program yang telah dirancang termasuk acara Krismas, melawat rumah anak yatim, projek pendidikan, kesihatan, kebajikan dan program komuniti untuk wanita di luar bandar,” katanya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page