Ewon sambut baik pengwujudan Tabung Amanah Pendidikan Negeri SabahEwon sambut baik pengwujudan Tabung Amanah Pendidikan Negeri Sabah
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon sambut baik pengwujudan Tabung Amanah Pendidikan Negeri Sabah



9 Disember 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick mengalu-alukan pindaan Enakmen Kumpulan Wang Amanah Kerajaan 1964 bagi mewujudkan Tabung Amanah Pendidikan Negeri Sabah.


Beliau berkata, pengwujudan tabung itu penting bagi membantu para pelajar di negeri ini khususnya dari luar bandar melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.


Walaupun tidak dijelaskan dalam pembentangan matlamat pengwujudan tabung amanah itu namun beliau percaya ia diwujudkan untuk membantu para pelajar khususnya dari luar bandar melanjutkan pelajaran.


“Sebagai seorang penerima bantuan Yayasan Sabah di sekolah rendah, menerima Biasiswa Kecil Persekutuan dan Dermasiswa semasa sekolah menengah serta menerima Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) untuk melanjutkan pelajaran ke universiti, saya menyokong penubuhan Tabung Amanah Pendidikan ini,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika membahas Rang Undang Undang (RUU) Enakmen Kumpulan Wang Amanah Kerajaan (Pindaan) 2021, yang dibentangkan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor, pada persidangan dewan undangan negeri, di Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.


RUU itu dibentangkan itu untuk meminda Enakmen Kumpulan Wang Amanah Kerajaan bagi menubuhkan Tabung Amanah Pendidikan Negeri Sabah.


Ewon berkata, lebih besar disediakan dalam belanjawan tahunan dalam pendidikan lebih ramai pelajar khususnya luar bandar yang berhadapan masalah kewangan dapat dibantu untuk meneruskan pelajaran di peringkat sekolah rendah, menengah sehingga universiti.


Katanya, kemudahan pendidikan kawasan luar bandar yang masih jauh ketinggalan berbanding sekolah bandar menyebabkan persaingan akademik tidak seimbang antara sekolah bandar dan luar bandar.


“Pelajar luar bandar menghadapi cabaran kekurangan kemudahan atau fasiliti pendidikan seperti makmal sekolah, ketiadaan pusat tuisyen di luar sekolah, malah cabaran datang ke sekolah, contohnya berjalan kaki berkilometer di atas jalan raya yang rosak sudah menjejaskan psikologi atau emosi mereka,” katanya.


“Sebab itu kalau kita ukur pemberian biasiswa semata-mata berasaskan kepada berapa banyak A misalnya dalam SPM, saya rasa tidak memberi keadilan kepada para pelajar di luar bandar yang dalam keadaan serba mencabar,” katanya.


Sehubungan itu beliau berharap dengan adanya tabung amanah itu ia dapat digunakan untuk membantu para pelajar luar bandar yang amat memerlukan.


“Kita adakan program handicap pemberian biasiswa supaya walaupun dia (pelajar) tidak mencapai 7A-8A, 9A seperti yang disyaratkan dalam pemberian BKNS … pelajar berkenaan dipertimbangkan untuk menerima biasiswa.


“Kalau dia dapat 3A misalnya atas usahanya dalam keadaan yang mencabar berilah dia (biasiswa) kerana pendidikan ini sahaja platform untuk mereka lari daripada kepompong kemisikinan,” katanya.


Ewon juga mencadangkan agar hasil tahunan pada kadar tiga hingga lima peratus hasil daripada royalti dan pungutan cukai jualan produk petroleum dapat dicarum ke Tabung Amanah Pendidikan Negeri Sabah.


Selain itu beliau turut mencadangkan supaya kerajaan negeri meminta kerajaan persekutuan dan Petronas mencarum setiap tahun kepada tabung amanah itu.


“Saya juga mencadangkan agar portfolio pendidikan dapat diletakkan kepada tugasan menteri, tidak lagi disebut Menteri Tugas-Tugas tetapi sebagai Menteri Pendidikan dan Tugas-Tugas Khas bagi mencerminkan keseriusan kerajaan dalam perkara ini,” katanya.


RUU itu dibahaskan oleh Adun Usukan Datuk Seri Salleh Tun Said, Ahli Dilantik Datuk Yong Teck Lee, Adun Senallang, Sindumin, Tungku, Kadamaian, Kunak, Kemabong, Darau dan Tanjung Aru.


Sementara itu Hajiji berkata, beliau akan mengambil maklum dan tindakan susulan ke atas kesemua cadangan yang telah dikemukakan.


“Tabung Pendidikan Negeri Sabah adalah sebagai badan penaja kepada pelajar Sabah melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.


“Justeru penubuhan Kumpulan Wang Amanah Tabung Pendidikan Negeri Sabah yang disyorkan untuk diguna pakai bagi penyaluran dana daripada organisais-organisasi dan para dermawan yang ingin menyumbang kepada tabung ini dan tentu sekali mereka akan diberi pengecualian daripada membayar cukai,” katanya.


Katanya lagi, Kumpulan Wang Amanah itu adalah bagi membantu para pelajar membayar kos pengajian dari peringkat sijil sehingga peringkat ijazah.


“Tabung pendidikan ini akan dipengerusikan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan,” katanya.

bottom of page