• Wartawan Nabalu News

EWON SAMPAIKAN BAKUL MAKANAN KEPADA 116 ORANG TERLIBAT KUARANTIN WAJIB DI KADAMAIAN


25 OKTOBER 2020

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick menyampaikan bakul makanan kepada 116 orang yang terlibat kuarantin wajib di rumah di kawasan Kadamaian.


Sumbangan tersebut adalah kesinambungan daripada penyampaian sumbangan kepada 80 orang yang juga kuarantin wajib di rumah oleh Kementerian Kesihatan minggu lepas.

"Saya telah dimaklumkan bahawa terdapat 116 orang lagi yang dikenakan kuarantin wajib di rumah di Kadamaian sementara menunggu ujian kesihatan yang berkaitan.

PARA petugas sukarelawan mengumpul sumbangan-sumbangan untuk penduduk Kadamaian yang memerlukan.

“Justeru, atas rasa tanggungjawab dan keprihatinan selaku Adun mereka, saya menyumbangkan bakul-bakul makanan ini bagi meringankan bebanan mereka sepanjang tempoh kuarantin wajib. Saya percaya agensi Kerajaan juga turut menyediakan bantuan yang berkaitan," katanya selepas menghantar bantuan bakul makanan di Pejabat Perhubungan Adun Kadamaian, di sini, hari ini.

Menurut beliau, urusetia Pejabat Perhubungan ADUN Kadamaian akan menghantar bakul makanan tersebut kepada isirumah yang terlibat dengan pematuhan SOP ketat yang telah disediakan.

PARA petugas sibuk mengangkat sumbangan untuk warga Kadamaian.

Ewon berharap semua yang terlibat dengan perintah kuarantin wajib serta orang ramai dapat mematuhi peraturan atau SOP sebagai tanggungjawab bersama memutuskan rantaian wabak Covid-19.

"Situasi penularan wabak Covid-19 di Sabah sangat membimbangkan. Oleh itu kita mempunya peranan masing-masing bagi memutuskan penularan wabak ini dan juga bagi memastikan fokus kepada pemulihan bagi mereka yang positif Covid dapat dibuat oleh para petugas kesihatan," tambahnya.

EWON ...Bakul makanan akan dihantar oleh urusetia..

Dalam pada itu, Ewon turut menyatakan bahawa rakyat Kadamaian boleh memaklumkan kepada beliau sekiranya bantuan bakul makanan daripada Kerajaan belum disalurkan.

"Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Masidi Manjun selaku jurucakap Kabinet menyatakan rakyat boleh menghubungi Pejabat Daerah masing-masing jika belum menerima bantuan bakul makanan.

"Justeru itu, saya boleh dimaklumkan sekiranya anda belum menerima bantuan tersebut. Saya akan bekerjasama dengan pihak Kerajaan yang berkaitan atau sukarelawan lain bagi memastikan bantuan oleh Kerajaan tersebut dapat disalurkan," katanya.

Ewon yang juga Ketua Bahagian Upko Kota Belud menyatakan bahawa semua program parti Upko dan parti gabungan di Kadamaian serta aktiviti Pejabat Perhubungan ADUN Kadamaian ditangguhkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKP), kecuali program berkaitan penyaluran bantuan berkaitan Covid-19.


ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com