Ewon sampaikan peruntukan RM400,000 untuk SM St Michael dan SJKC Yue Min Penampang
- nabalunews
- 7 hours ago
- 1 min read

25 Ogos 2025
PENAMPANG: Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick, hari ini menyampaikan peruntukan berjumlah RM400,000 kepada Sekolah Menengah (SM) St Michael dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yue Min Penampang bagi tujuan pembangunan dan naik taraf kemudahan sekolah.
Di SM St Michael, Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menyerahkan kelulusan peruntukan sebanyak RM200,000 daripada Kementerian Kewangan Persekutuan untuk pembinaan bumbung kawasan parkir sekolah.
Ewon berkata, peruntukan itu diluluskan selepas beliau memanjangkan permohonan pihak sekolah kepada Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

“Peruntukan ini bagi melengkapkan kawasan parkir konkrit yang sebelum ini dibina menggunakan peruntukan Ahli Parlimen yang saya salurkan,” katanya.
Dalam lawatan ringkas itu, Ewon turut meninjau bilik darjah di bangunan lama sekolah yang memerlukan pembaikan struktur serta menyampaikan sumbangan kepada delegasi pelajar SM St Michael yang akan menyertai Program ISCEP di Korea.
Sementara itu, di SJKC Yue Min, beliau menyerahkan kelulusan peruntukan sebanyak RM200,000 daripada Kementerian Kewangan Persekutuan bagi menaik taraf kawasan tempat letak kereta yang sering dinaiki air ketika musim hujan akibat limpahan parit berdekatan.

Selain itu, beliau turut meninjau keadaan jalan perhubungan dalam kawasan sekolah yang memerlukan penurapan semula.
Ewon menegaskan komitmennya untuk terus membantu sekolah-sekolah di kawasan Penampang dalam usaha meningkatkan kemudahan dan infrastruktur.

“Saya komited untuk menjadi sebahagian daripada penyelesaian kepada keperluan pembangunan sekolah di kawasan ini,” katanya.
Comentarios