top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon sampaikan sumbangan bantuan persekolahan kepada 33 sekolah DUN Kadamaian 

 



18 Mac 2024

 Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menyampaikan sumbangan bantuan persekolahan kepada 33 buah sekolah rendah dan menengah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian.

 

Beliau berkata, bantuan persekolahan sejumlah RM180,000 itu disumbangkan oleh Yayasan Bank Rakyat (YBR) agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

 

“Daripada jumlah itu sekolah menengah menerima RM10,000 setiap sekolah dan RM5,000 untuk setiap sekolah rendah, sama seperti bantuan awal persekolahan yang kita salurkan pada tahun lalu.

 

“Ini adalah kesinambungan tanggungjawab saya di kementerian dan sebagai wakil rakyat kawasan ini untuk terus memastikan pendidikan diberi perhatian sewajarnya selain memberi keutamaan kepada pembangunan keusahawanan dan koperasi.

 



“Selagi saya berada di kementerian, saya akan pastikan YBR akan meneruskan bantuan seperti ini dan batuan-bantuan lain untuk pelajar sekolah,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Penyerahan Sumbangan Sekolah-Sekolah DUN Kadamaian dan Bantuan Van Koperasi Sempena Jubli Perak 25 Tahun Penubuhan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tambulion, di Dewan Stalion SMK Tambulion, di sini, hari ini.

 

Ewon berkata, bagi menyelesaikan beberapa isu sekolah di kawasan Kota Belud khususnya di Kadamaian, beliau akan membawa Menteri Pendidikan untuk melawat beberapa buah sekolah di sini.

 

“Saya akan membawa Menteri Pendidikan melawat sebuah sekolah menengah, sebuah sekolah rendah dan sebuah sekolah jenis kebangsan yang mewakili isu-isu sekolah di kawasan Kota Belud.

 



“Saya telah memilih SMK Narinang yang berhadapan dengan isu kesesakan pelajar dan memerlukan penyelesaian jangka masa panjang. Kemudiannya di SK Tamu Darat untuk penaiktarafan bangunan sekolah dan memerlukan penyelesaian kementerian, seterusnya di SRA Rangalau pada hari yang sama.

 

“Ini adalah penyelesaian dan komitmen saya untuk membawa perkhidmatan terbaik kepada rakyat kawasan ini dan mudah-mudahan dapat membuka ruang kepada penyelesaian yang lebih besar pada masa akan datang, sesuai dengan Pelan Pembangunan Kadamaian yang telah kita lancarkan dan jadikan sebagai panduan membangunkan Kadamaian,” katanya.

 

Selain itu katanya beliau juga akan membawa Menteri Pelancongan Persekutuan dan Menteri Pertanian untuk mencari jalan penyelesaian isu-isu berkaitan pelancongan dan pertanian seperti aspirasi rakyat Kadamaian dalam Pelan Pembangunan Kadamaian.

 

Turut hadir Pengerusi Yayasan Bank Rakyat Datuk Philip Lasimbang, Pengurus Besar YBR Syaiful Rizal Abdul Ghani, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Rusli Jaafar, Pengarah SKM Sabah Matias Kundapin dan Pengetua SMK Tambulion Nasdin Pumpunga.



 

 

Comments


bottom of page