Ewon sampaikan sumbangan kepada Gereja SIB dan Gereja RC Kg Tambulion
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon sampaikan sumbangan kepada Gereja SIB dan Gereja RC Kg Tambulion


Ewon (tiga kanan) menyampaikan sumbangan kepada wakil Gereja SIB Kg Tambulian.

25 April 2022

Oleh Wartawan Nabalu News

KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick menyampaikan sumbangan kepada Gereja Sidang Injil Borneo (SIB) dan Gereja Roman Catholic (RC) Kg Tambulion. Sumbangan tersebut iaitu RM3,000 bagi Gereja SIB dan RM2,000 bagi Gereja RC bertujuan untuk menambah tabung pembangunan gereja yang kedua-duanya sedang dalam pembinaan. Ewon menyampaikan sumbangan tersebut semasa kunjungan beliau ke kampung Tambulion pada Sabtu lepas.

Ewon menyampaikan sumbangan kepada Gereja RC Kg Tambulion

“Sebelum ini, saya telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM30,000 kepada Gereja SIB dan sebanyak RM50,000 kepada Gereja RC tersebut. Hari ini saya berkesempatan singgah meninjau kerja-kerja pembinaan bangunan yang telah dilaksanakan hasil daripada peruntukan tersebut. “Pihak gereja juga telah memaklumkan masih terdapat keperluan untuk mengisi tabung pembangunan gereja bagi menyiapkan sepenuhnya kedua-dua bangunan. Jemaat di kedua-dua gereja juga telah mengadakan pungutan di kalangan mereka. Justeru, selaku ADUN mereka, saya menyampaikan sumbangan peribadi tersebut untuk menambah tabung pembangunan gereja mereka,” katanya.

Ewon meninjau kerja-kerja pembinaan semula Gereja RC Kg Tambulion

Ewon turut dimaklumkan berkenaan kerja-kerja pembinaan yang terjejas akibat pandemik Covid-19 dan kenaikan kos bahan-bahan binaan. “Saya merakamkan penghargaan kepada semua jemaat yang telah menderma untuk pembangunan gereja mereka. Walaupun tahun ini saya tidak diberi peruntukan, tetapi saya masih perlu menjalankan tanggungjawab saya sebagai ADUN dan mengambil inisiatif untuk menyampaikan sumbangan menambah tabung pembangunan gereja mereka.

Ewon menyampaikan sumbangan program Ziarah Kasih Ramadan.

“Mudah-mudahan pihak Kerajaan yang ada hari ini juga akan terus mengambil langkah pro-aktif membantu pembangunan rumah-rumah ibadat bukan Islam dan juga kebajikan pemimpin-pemimpin keagamaan. “Dalan sidang Dewan Undangan Negeri yang lepas, saya telah membangkitkan berkenaan kebajikan anak-anak Pastor yang melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi dan saya telah diberikan jaminan perkara tersebut akan diteliti dan dibantu.


"Ini adalah sebahagian tanggungjawab saya sebagai ADUN untuk mengangkat permasalahan mereka selain daripada keperluan pembangunan gereja,” katanya.

Ewon meninjau kerja-kerja pembinaan Gereja SIB Kg. Tambulion

Ewon menyatakan demikian selepas dihubungi oleh wartawan Nabalu News berkenaan kunjungan beliau ke kampung tersebut. Dalam program berasingan di kampung tersebut, Ewon turut menyampaikan sumbangan RM1,000 kepada Wanita UPKO Cawangan Kg Tambulion Ulu untuk melaksanakan program ziarah kasih ramadhan di kampung tersebut.

bottom of page