Ewon sampaikan sumbangan kerusi kepada komuniti di Kadamaian
top of page
  • Mark Gilbert

Ewon sampaikan sumbangan kerusi kepada komuniti di Kadamaian


Ewon (berbaju Liverpool) bersama-sama dengan pimpinan komuniti kampung yang menerima sumbangan.

9 Feb 2022

Oleh Mark Gilbert


KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick hari ini menyampaikan sumbangan kerusi kepada lima buah kampung di Kadamaian.


Kampung-kampung tersebut ialah Kg.Talungan, Kg.Bayayat, Kg.Bokilong, Kg.Melangkap Noriou dan Gereja RC Kg.Kelawat.


Menurut Ewon, kampung-kampung tersebut antara yang telah mendapat kemudahan dewan serbaguna dan dewan terbuka semasa beliau berada dalam kerajaan.


“Semasa saya dalam kerajaan sebelum ini, saya telah sempat mendapatkan peruntukan bagi membina banyak dewan serbaguna dan dewan terbuka di kampung-kampung di DUN Kadamaian.


Urusetia pusat khidmat ADUN membantu memuatnaik kerusi.

“Walaupun kini berada di luar kerajaan, saya terus komited mencari inisiatif untuk membantu komuniti Kadamaian yang memerlukan kepimpinan dan perkhidmatan saya. Syukur hari ini, dapat menyampaikan sumbangan kerusi untuk digunakan oleh para penduduk yang saya sampaikan melalui ketua-ketua cawangan UPKO,” katanya.


Upacara ringkas penyampaian tersebut diadakan di Pusat Khidmat ADUN Kadamaian di Kg Piasau.


Dalam upacara tersebut, Ewon turut menyampaikan sumbangan sebuah peti sejuk kepada Gereja SIB Kg.Melangkap Tomis yang dipohon oleh persekutuan ibu gereja semasa lawatan beliau ke program gotong-royong gereja tersebut pada penghujung tahun lepas.

Ewon bersama mantan-mantan Pengerusi MPKK dan Ketua Kampung yang terlibat.

Sementara itu, wakil-wakil komuniti yang menerima sumbangan tersebut merakamkan penghargaan kepada Ewon kerana terus konsisten memberi pelayanan terbaik kepada komuniti Kadamaian.

Losuin

Ketua Cawangan Upko Kg Talungan yang juga mantan Pengerusi MPKK Losuin Kolias menyatakan kampung mereka mendapat kemudahan sebuah dewan terbuka selain daripada kemudahan bangunan pentadbiran pelancongan dan jalan konkrit ke kawasan pelancongan semasa Ewon berada dalam kerajaan dalam tempoh dua tahun.


“Impian kami sebelum itu ialah memiliki bangunan dewan kami sendiri seperti kampung-kampung lain. Hari ini kami ada kemudahan ini. Semasa lawatan Ewon ke kampung ini pada penghujung tahun lepas, saya mengemukakan permohonan mendapatkan kerusi dan syukur hari ini Ewon telah menyampaikan kepada kami,” katanya.


Mantan Pengerusi MPKK Kg Bayayat Laizen Galintok turut menyatakan penghargaan yang sama kepada Ewon kerana dapat menyalurkan peruntukan membina dewan terbuka kampung sebelum ini dan seterusnya kerusi pada hari ini.

Laizen

“Semasa dalam kerajaan, Kg Bayayat tidak ketinggalan mendapat perhatian daripada Ewon terutama pembangunan pelancongan dan membina sebuah dewan terbuka yang sudah lama dipohon oleh penduduk kampung sebelum itu.


“Beberapa hari lepas, Ewon singgah di Kg Bayayat menyantuni masalah kami dan membantu keperluan belia menyelenggara padang kampung ini. Hari ini, kami menerima sumbangan kerusi untuk dewan terbuka kami,” katanya.

bottom of page