top of page

Ewon sampaikan sumbangan RM155,000 kepada 25 persatuan masyarakat Cina di Penampang

  • nabalunews
  • 5h
  • 2 min read

ree

22 Disember 2025


PENAMPANG: Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick menyampaikan sumbangan berjumlah RM155,000 kepada 25 persatuan masyarakat Cina di kawasan Parlimen itu sebagai komitmen berterusan menyokong pembangunan komuniti dan pemain industri tempatan.


Ewon yang juga Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata, inisiatif itu tercetus hasil perbincangan bersama Kapitan-Kapitan Cina Penampang yang sebelum ini turut menganjurkan sambutan Tahun Baharu Cina dan Pesta Tanglung Parlimen Penampang.


“Sebagai Ahli Parlimen Penampang, saya menyalurkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM155,000 kepada 25 persatuan masyarakat Cina di Parlimen Penampang. Enam persatuan masing-masing menerima RM10,000 setiap satu, manakala 19 persatuan lagi menerima RM5,000 setiap satu.

ree

“Saya yakin melalui kerjasama erat dengan persatuan-persatuan dan pemain industri, kita dapat mengangkat kemajuan ekonomi, perindustrian, perniagaan dan keusahawanan di Sabah,” katanya ketika berucap pada Majlis Kesyukuran dan Penyampaian Sumbangan kepada persatuan masyarakat Cina Penampang, di sini, semalam.


Majlis itu dianjurkan oleh Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Penampang (PCCCI).


Ewon turut berkongsi dasar, wawasan serta fokus utama kementeriannya termasuk pelaksanaan Dasar Sabah First yang menekankan usaha memajukan rakyat Sabah agar mempunyai peluang dan pendapatan lebih baik melalui peluang pekerjaan dan pemilikan perniagaan.

ree

“Sebaik menerajui kementerian ini, saya telah menyatakan bahawa saya akan melaksanakan polisi atau dasar Sabah First di kementerian ini.


“Maksud Dasar Sabah First ialah selain menyokong Pelan Sabah Maju Jaya dan pelan-pelan pembangunan yang lain, saya juga ingin melihat rakyat Sabah lebih banyak dimajukan supaya ada pendapatan, sama ada sebagai pemilik perniagaan dan pekerja dengan pemilik perniagaan.


Bagi menjayakan wawasan ini, kita mesti ada fokus iaitu membangunkan satu ekosistem perindustrian, ekosistem keusahawnan dan ekosistem perniagan keusahawanan yang lebih baik daripada selama ini,” katanya.

ree

Beliau berkata ini juga penting bagi mengurangkan tahap kemiskinan di Sabah. Lapan daripada 10 daerah termiskin di Malaysia adalah di Sabah.


“Jadi saya menjadikan wawasan membangunkan rakyat Sabah supaya ada pendapatan sebagai asas kepimpinan saya di kementerian.


“Dengan meletekkan agensi-agensi yang berkaitan dengan logistik dan pengangkutan di bawah kementerian saya akan memudahkan kita untuk membangunkan ekosistem yang lebih baik.

ree

“Kita perlu membina ekosistem perindustrian, keusahawanan dan perniagaan yang lebih baik, termasuk menyelesaikan isu logistik, kesesakan pelabuhan, kekosongan taman perindustrian dan meningkatkan keupayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Sabah,” katanya.


Beliau menegaskan, standard dan kualiti produk serta perkhidmatan pemain industri Sabah perlu terus dipertingkatkan agar mampu bersaing bukan sahaja di peringkat nasional, tetapi juga memenuhi piawaian pasaran antarabangsa.


Dalam masa sama, Ewon berkata perkhidmatan kementerian, agensi serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah kementeriannya perlu lebih efisien dan responsif terhadap keperluan industri.


Beliau turut memaklumkan telah mencadangkan kepada Ketua Menteri Sabah agar wakil-wakil korporat dilantik dalam lembaga pengarah agensi dan GLC berkaitan industri bagi memastikan tadbir urus lebih profesional dan berpaksikan keperluan industri, bukannya kepentingan politik.


“Saya percaya pendekatan ini akan membawa manfaat besar kepada Sabah, menjadikan negeri ini destinasi pelaburan, perniagaan dan keusahawanan yang lebih baik, seterusnya meningkatkan pendapatan pemilik perniagaan serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat,” katanya.


Ewon menegaskan beliau akan terus bekerjasama rapat dengan PCCCI serta pertubuhan berasaskan keusahawanan, perniagaan dan perindustrian bagi memastikan agenda pembangunan ekonomi Sabah dapat direalisasikan.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page