top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon sampaikan sumbangan tujuh ekor lembu korban kepada masjid DUN Kadamaian, sempena Aidiladha


15 Jun 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menyampaikan sumbangan tujuh ekor lembu kepada tujuh masjid di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian sempena sambutan Hari Raya Korban (Aidiladha).


Sumbangan itu disampaikan kepada setiap wakil masjid pada majlis ringkas di perkarangan Pejabat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN ) Kadamaian, Kg.Piasau, di sini, hari ini.


Penerima sumbangan lembu korban ialah Masjid Kg. Tengkurus, Kg. Tambulion, Kg. Lompios, Kg. Tekulung, Kg. Kebidahan, Kg. Rajunah dan Kg. Lobong-Lobong.


Hari Raya Aidiladha akan disambut oleh umat Islam pada 17 Jun ini.

Ewon yang juga ADUN Kadamaian  berkata, penyampaian sumbangan sempena sambutan perayaan keagamaan adalah acara tahunannya sejak menjadi wakil rakyat di kawasan itu.


“Pada sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Krismas yang lalu, saya juga turut menyampaikan sumbangan di Kadamaian sebagai tanda keprihatinan dan perpaduan kepada semua lapisan masyarakat berbilang kaum dan agama di kawasan ini.


“Saya akan teruskan acara ini setiap tahun bagi menyemarakkan lagi semangat perpaduan, keharmonian dan persaudaraan,” katanya selepas menyampaikan sumbangan itu.


Sementara itu Pengerusi Masjid Kg. Rajunah, Md.Amzar Abdul Rahman merakamkan ucapan terima kasih kepada Ewon atas keprihatinan beliau terhadap masyarakat Islam di kawasan Kadamaian.

“Pada sambutan Raya yang lepas pun YB Datuk Ewon telah menyampaikan sumbangan di kampung kami berupa wang ringgit dan kali ini, seekor lembu untuk sambutan Aidiladha.


“Bagi mewakili penduduk kampung, saya amat berterima kasih kepada Datuk Ewon atas sumbangan ini dan kami berharap sumbangan ini memberikan inspirasi kepada rakyat untuk terus bekerjasama  memajukan kampung,” katanya.


Pengerusi JKKK Kg. Lompios, Zuraidah Mandai turut merakamkan ucapan terima kasih atas sumbangan seekor lembu untuk Masjid Al Hidayah di kampung itu.

“Ini tanda keprihatinan YB kepada masyarakat Islam di kampung kami. Pada sambutan Krismas dan Hari Raya Aidilfitri yang lalu, kampung kami turut menerima sumbangan daripada YB Datuk Ewon,” katanya.


Turut merakamkan penghargaan kepada Ewon atas sumbangan beliau sempena Aidiladha hari ini ialah Pengerusi JKKK Kg. Kobidahan, Junny Simpol dan Wakil Masjid Nurul Huda Kg.Tongkurus Yongit @ Abdullah Ajis.


Comments


bottom of page