Ewon santuni 3 keluarga di Kg Lompios dan Lasau Minunsud, sampaikan bantuan
26 Ogos 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick menyantuni seterusnya menyampaikan bantuan kepada tiga keluarga di Kg.Lompios dan Kg.Lasau Minunsud dalam kawasan Kadamaian.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berharap sumbangan itu sedikit sebanyak dapat membantu meringankan bebanan keluarga berkenaan.
“Kunjungan ke rumah-rumah keluarga yang dikenalpasti menerima bantuan adalah antara program wajib dan keutamaan saya setiap kali mengadakan program turun padang di Kadamaian.
“Ini juga adalah tanggungjawab saya sebagai wakil rakyat kawasan ini, bukan sahaja memastikan projek-projek pembangunan dilaksanakan dengan baik tetapi kebajikan penduduk terus diberi perhatian sewajarnya,” katanya.
Ewon turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Kelab Kebajikan Kadamaian dan Yayasan Bank Rakyat atas kerjasama menjayakan program itu.
Terdahulu itu beliau merasmikan Konvensyen Pemerkasaan Ekonomi Anggota Jemaah SIB, di Wisma SIB Likas dan seterusnya menyempurnakan majlis penutupan Kursus Membuat Mee Laksa dan Mee Kuning di Tamu Lompios, Kota Belud.
Comments