Ewon santuni cawangan-cawangan Upko, mulai terima resolusi mesyuarat tritahunan
top of page
  • Mark Gilbert

Ewon santuni cawangan-cawangan Upko, mulai terima resolusi mesyuarat tritahunan


Ewon menerima resolusi-resolusi lima cawangan Upko Mukim Tengkurus yang telah selesai bermesyuarat sebelum ini.

10 Februari 2022

Oleh Mark Gilbert


KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick memulakan jelajah ke mukim-mukim pentadbiran pilihanraya Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) di Kota Belud hari ini.


Ewon mulakan jelajah beliau di Mukim Tengkurus bagi mengadakan perjumpaan dengan pimpinan akar umbi cawangan-cawangan UPKO di mukim tersebut.


Dalam kunjungan tersebut, Ewon turut menerima resolusi-resolusi mesyuarat agung tritahunan (MAT) lima buah cawangan UPKO di mukim tersebut antaranya mahukan beliau terus mengemudi Upko Kota Belud dan memainkan peranan lebih besar dalam kepimpinan parti.


Dalam ucapannya, Ewon turut menjelaskan pendirian beliau terus kekal bersama parti Upko walaupun kini berada di luar kerajaan dan juga inisiatif-inisiatif yang beliau teruskan selaku ADUN Kadamaian.

Ewon menyampaikan amanat kepada Ketua-Ketua Cawangan, Timbalan-Timbalan Ketua Cawangan, Ketua-Ketua Wanita dan Ketua-Ketua Pemuda Upko Mukim Tengkurus.

“Memang ramai yang menghubungi saya dan menjemput saya menyertai parti-parti dalam kerajaan, tetapi saya sudah menjelaskan pendirian saya, iaitu kekal dalam Upko dan akan berkhidmat sebaik mana yang mungkin sebagai ADUN Kadamaian.


“Saya beritahu mereka, saya akan menyokong pembentangan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti walaupun saya ADUN pembangkang.


“Saya juga katakan saya boleh menyokong Ketua Menteri tanpa perlu keluar daripada parti Upko kerana prinsip saya mudah, sokong yang betul, sanggah yang salah dan teruskan apa yang patut. Saya mahu ini diterapkan dalam jatidiri ahli-ahli UPKO,” katanya.


Ewon yang juga Naib Presiden UPKO turut merakamkan penghargaan ke atas sokongan yang terus diberikan oleh cawangan-cawangan UPKO di Kadamaian termasuk saranan agar beliau memainkan peranan lebih besar dalam kepimpinan parti.


Beliau turut mengulas beberapa isu pembangunan di Kadamaian dan isu-isu tadbir urus kerajaan hari ini.

Ewon menyampaikan sumbangan 50 bakul makanan kepada cawangan-cawangan Upko Mukim Tengkurus.

“Dalam tempoh dua tahun kita dalam kerajaan, 2018-2020, kita begitu rancak merancang dan melaksanakan pembangunan di Kadamaian terutama yang berskala kecil dan sederhana.


“Hari ini begitu banyak aduan yang saya dengar tidak nampak aktiviti pembangunan seperti sebelum ini. Sebagai kerajaan yang mengurus dan memegang peruntukan pembangunan, ini adalah satu kegagalan di pihak kerajaan,” katanya.


Bersempena lawatan ke Kg Tengkurus tersebut, Ewon turut menyampaikan sumbangan wang tunai sebanyak RM1500 kepada UPKO Cawangan Bahangan Kg Tengkurus bagi membeli sebuah mesin pemotong rumput padang kampung.


Sementara itu, beliau juga menyumbangkan 50 bakul makanan kepada isi rumah yang memerlukan di mukim tersebut yang telah dikenalpasti oleh setiap cawangan UPKO.


Di peringkat cawangan, UPKO cawangan Kg Bahangan Tengkurus diketuai oleh Badon Galadoh, cawangan Kg Tengkurus Minsir Lambang, cawangan Kg Gandukut Lumisah Limban, cawangan Kg Lahanas Sokid Kuin Sani dan cawangan Kg Lahanas Siba Pinol Timun.

bottom of page