Ewon saran Jawatankuasa Tagal Babagon Penampang tubuh koperasi
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon saran Jawatankuasa Tagal Babagon Penampang tubuh koperasi



9 Jun 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menyarankan agar Jawatankuasa Tagal Babagon Bawah Penampang menubuhkan koperasi bagi memudahkan kerajaan menyalurkan pembiayaan berkaitan.


Beliau yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menyediakan pelbagai kemudahan pembiayaan untuk koperasi.


“Antaranya pembiayaan mudah melalui Tabung Modal Pusingan TMP-SKM, Bantuan Pembangunan Koperasi, khidmat nasihat dan bimbingan untuk membolehkan jaringan kerjasama antara koperasi dengan pihak swasta.


“Kementerian mempunyai 10 agensi yang kesemuanya memberi khidmat sokongan perniagaan kepada para usahawan, koperasi, penjaja dan peniaga kecil-kecilan dari segi pembiayaan atau latihan keusahawanan.


Carl (berdiri, tengah) menyaksikan acara menandatangan MoU antara Jabatan Perikanan Sabah dan Jawatankuasa Tagal Kg.Babagon Bawah, Penampang.

“Ini termasuk Tekun Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Institut Koperasi Malaysia (IKMA), Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), SME Bank, SME Corp, Bank Rakyat, Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) dan UDA Holdings,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam teks ucapan sempena perasmian Majlis Menandatangani Persefahaman (MoU) antara Jabatan Perikanan Sabah dan Jawatankuasa Tagal Kg.Babagon Bawah Penampang, di Pentas Tagal Kg.Babagon, di sini, hari ini.


Teks ucapannya disampaikan oleh Setiausaha Politik Carl Moosom.


Turut hadir, Pengarah Perikanan Sabah Azhar Kassim, Pegawai Daerah Penampang Francis Chong dan Pengerusi Tagal Kg.Babagon Bawah Penampang Gadius Gonsuin.


Carl bersama ketua-ketua jabatan melepaskan ikan di Sungai Babagon.

Ewon berkata, Tekun juga mempunyai skim pembiayaan khusus untuk peniaga tamu di Sabah yang baru diperkenalkan tahun ini iaitu Skim Pembiayaan Usahawan Tamu (SPUT).


“Had maksimum pembiayaan bagi skim ini sehingga RM5,000 dan tempoh bayaran balik sehingga 12 bulan. Saya berharap para peniaga kecil-kecilan di Sabah khususnya di Penampang merebut peluang ini untuk memajukan lagi perniagaan sekaligus meningkatkan taraf ekonomi mereka,” katanya.


Selain itu katanya, pada Mei lalu kementerian turut melancarkan tiga skim baharu untuk usahawan, bakal usahawan dan koperasi di negeri ini iaitu Program Tunas Usahawan Bumiputera (TUBE) Tahun 2023; Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) dan Program Pembiayaan BRTani.


Mengenai sistem Tagal Babagon, Ewon berkata, beliau menyokong dan mengalu-alukan usaha itu kerana ia bukan sahaja dapat meningkatkan kesedaran orang ramai terutamanya penduduk kampung mengenai kepentingan Tagal tetapi satu kerjasama baik antara masyarakat akar umbi dengan jabatan kerajaan.


“Sistem tagal atau Bombon dalam Bahasa Kadazandusun, adalah satu kaedah tradisional yang diamalkan oleh penduduk kampung untuk memulihara sumber hidupan sungai sejak dahulu lagi.



“Kini sistem Tagal telah diubahsuai dan menjadi satu sistem pengurusan yang lebih tersusun di bawah pemantauan Jabatan Perikanan Sabah.


“Penglibatan penduduk kampung dalam Sistem Tagal juga semakin meningkat, sehingga kini banyak kampung yang mengamalkan Sistem Tagal antaranya eko pelancongan di kawasan Kadamaian dan Luanti Ranau,” katanya.


Beliau berkata, selain menjadi produk pelancongan, Tagal juga dapat mempromosikan sistem undang-undang tagal sebagai salah satu bentuk perundangan adat kampung untuk memulihara kemampanan ekosistem sungai.


Tagal Babagon Bawah dilaksanakan sejak 2000 oleh penduduk kampung dan menjadi antara lokasi pelancongan di kawasan Penampang.


Ewon berkata, bagi menarik lebih ramai pengunjung, kawasan Tagal Babagon perlu disediakan kemudahan yang selesa kepada pengunjung seperti tandas, pondok rekreasi dan pusat informasi.


“Saya percaya melalui MoU dengan Jabatan Perikanan akan memudahkan penyaluran peruntukan bagi membantu meningkatkan prasarana di kawasan ini,” katanya.

bottom of page