top of page

Ewon sedia pertahan Presiden dalam pemilihan UPKO 2026

  • nabalunews
  • 2 hours ago
  • 2 min read

19 Januari 2026


KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick mengumumkan kesediaannya menawarkan kepimpinan semula bagi mempertahankan jawatan Presiden parti itu untuk penggal seterusnya dalam pemilihan UPKO 2026.


Beliau berkata, tahun ini merupakan pemilihan parti di semua peringkat dan UPKO akan mengadakan Kongres pada 8 dan 9 Ogos tahun melibatkan pemilihan selaras dengan perlembagaan Parti.


“Ahli-ahli mempunyai kebebasan penuh untuk memastikan proses demokrasi dilaksanakan secara telus dan cekap di semua peringkat.


“Saya berharap pemilihan ini terus menyatukan kita, bukan sebaliknya. Kita mesti memilih barisan pemimpin berasaskan merit dan potensi serta mampu menawarkan kepimpinan yang boleh diterima oleh rakyat, yang mahu bekerja untuk rakyat dan memimpin rakyat,” katanya ketika berucap menyempurnakan pelancaran Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO Ke-17, di sini, kelmarin.


Ewon mengakui UPKO di bawah kepimpinannya tidak sempurna dan masihy mempunyai kelemahan namun menegaskan komitmennya untuk memastikan parti itu terus diperbaiki dari semasa ke semasa.


“PRU Sabah menyerlahkan keperluan parti kita untuk memperkemas jentera di semua peringkat, terutamanya di setiap kawasan Dewan Undangan. Kita tidak mungkin memenangani pilihanraya dengan keinginan semata-mata, melainkan pemantapan jentera di akar umbi.


“Justeru, semua Bahagian yang berhasrat untuk mengambil bahagian dalam PRU seterusnya harus menggunakan Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO tahun ini untuk memperkemaskan cawangan-cawangan termasuk jawatankuasa pimpinan Dewan Undangan.


“Jika ada keperluan meminda perlembagaan Parti untuk memperkukuh institusi pimpinan Dewan Undangan negeri, maka sebaiknya itu harus mendapat sokongan semua Bahagian,” katanya.


Ewon berkata, UPKO juga akan memperkukuh institusi Wakil-Wakil Rakyat UPKO supaya berada dalam pembuatan keputusan dasar-dasar parti, termasuk peranan lebih berkesan kepada Majlis Penasihat dan Pengarah Pilihanraya Parti.


“Wakil-wakil Rakyat UPKO merupakan wajah utama parti yang harus berada di barisan hadapan perjuangan kepimpinan dan perkhidmatan pelayanan, menjadi duta dan refleksi parti. Wakil-wakil Rakyat UPKO dan semua barisan pimpinan harus bebas kontroversi,” katanya.


Dalam pada itu, Ewon mengulangi keperluan mempelbagaikan kekuatan jentera parti menerusi pelaksanaan inisiatif “Satu Bahagian, Satu Persatuan, Satu Koperasi, Satu Success Story”, di samping menganjurkan lebih banyak pemukiman, forum dan konvensyen berkaitan agenda serta wawasan Sabah First.


Beliau turut mengalu-alukan penyertaan ahli baharu, namun menegaskan penubuhan cawangan dan bahagian baharu perlu melalui proses penjiwaan dan penghayatan perjuangan parti dalam tempoh dua tahun sebelum diperakukan oleh Majlis Tertinggi.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page