Ewon serah sumbangan CIS kepada PPD Penampang
- nabalunews
- 2 hours ago
- 2 min read

3 Julai 2026
PENAMPANG: Timbalan Ketua Menteri III Sabah merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick hari ini menyampaikan sumbangan dana berjumlah RM30,000 di bawah Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Cement Industries Sabah (CIS) Sdn. Bhd. kepada Kelab Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Penampang.
Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, sumbangan daripada anak syarikat Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) itu adalah penghargaan kepada guru-guru dan seluruh warga sekolah di Penampang atas kejayaan daerah itu muncul sebagai daerah terbaik di Sabah dalam prestasi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.

“Pada April lepas, saya telah menyatakan komitmen saya untuk menyediakan dana kepada PPD Penampang sebagai apresiasi guru-guru dan warga sekolah di seluruh Penampang di atas pencapaian menjadi daerah terbaik di Sabah bagi prestasi SPM 2025.
“Dana ini akan digunakan untuk menganjurkan beberapa inisiatif yang akan dianjurkan oleh PPD Penampang termasuklah majlis apresiasi dan perkhidmatan cemerlang.
“Bagi pihak rakyat Penampang, saya ucap terima kasih kepada PPD, semua Pengetua dan Guru Besar, semua guru dan kakitangan sekolah serta warga sekolah di seluruh Penampang di atas komitmen dan dedikasi dalam pembangunan awal modal insan negara,” katanya selepas menyampaikan sumbangan itu, di pejabat PPD Penampang, di sini, hari ini.
Ewon turut merakamkan penghargaan kepada CIS atas sumbangan dana CSR tersebut dan berharap lebih banyak syarikat berkaitan Kerajaan Negeri Sabah akan melaksanakan inisiatif seumpamanya bagi menyokong pembangunan masyarakat, khususnya dalam bidang pendidikan.
Katanya, kerjasama antara agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan dan institusi pendidikan perlu terus diperkukuhkan bagi memastikan kecemerlangan pendidikan di Sabah terus dipertingkatkan.
Sebelum ini, Ewon turut menyampaikan sumbangan CSR CIS Sdn. Bhd. kepada beberapa organisasi lain di kawasan Kota Belud, iaitu Persatuan Permuafakatan Tadika Swasta Kota Belud berjumlah RM50,000, Kelab Kebajikan Kadamaian (RM40,000) dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Tengkurus (RM20,000).
Sumbangan berkenaan mencerminkan komitmen berterusan CIS dalam menyokong pembangunan pendidikan dsn kebajikan masyarakat di Sabah.















Comments