Ewon sokong program sentuhan kasih Krismas di SIB Lahanas Siba
21 Disember 2024
KOTA BELUD: Program Sentuhan Kasih Sidang Injil Borneo (SIB) Lahanas Siba sebagai penghargaan kepada golongan warga emas sempena sambutan Krismas, menerima sokongan padu daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick.
Sumbangan Ewon telah disampaikan oleh Pemaju Masyarakat di Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian, Clarence Somuil yang mewakili Ewon kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Lahanas, Kudua Darisoh, yang juga Pengerusi Majlis Gereja SIB Lahanas Siba, Kota Belud.
Menurut Kudua, program yang dijadualkan berlangsung pada 24 Disember ini bertujuan untuk menghargai dan mendoakan jemaat warga emas di kampung tersebut.
Selain itu, ia juga berfungsi sebagai platform untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan dan memupuk semangat kasih sayang dalam kalangan komuniti Kampung Lahanas Siba.
“Program ini bukan sahaja untuk merayakan Krismas tetapi juga sebagai penghargaan kepada golongan warga emas yang sentiasa menjadi tulang belakang kepada komuniti ini. Kami berharap program ini dapat memperkukuhkan jalinan kebersamaan di kalangan jemaat,” katanya.
Kudua turut menzahirkan penghargaan atas sumbangan Ewon yang membolehkan pihak gereja merealisasikan penganjuran program tersebut dengan lebih lancar dan meriah.
“Kerjasama dan sokongan daripada wakil rakyat seperti Ewon amat kami hargai. Ia menunjukkan keprihatinan beliau terhadap keperluan komuniti setempat, khususnya dalam aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan,” tambahnya.
"Sumbangan yang disampaikan ini juga mencerminkan komitmen pemimpin tempatan dalam menyokong aktiviti berbentuk kebajikan dan sosial.
"Melalui usaha ini, hubungan antara pemimpin dan komuniti setempat diharap terus kukuh, sejajar dengan matlamat memperkasa kesejahteraan rakyat di kawasan ini," katanya.
Penganjur berharap agar program ini bukan sahaja mengeratkan silaturahim tetapi juga menjadi platform untuk menanam nilai kasih sayang dan perpaduan yang lebih utuh dalam komuniti setempat.
Comments