Ewon sumbang 22 kepala singa dan naga kepada persatuan Cina Penampang
- nabalunews
- 3 hours ago
- 2 min read

7 February 2026
PENAMPANG: Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick menyampaikan sumbangan sebanyak 22 kepala singa termasuk dua kepala naga kepada pelbagai persatuan dan kelab tarian singa di dalam kawasan Parlimen Penampang sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembagunan Perindustrian dan Pengangkutan berkata, ia adalah sebahagian daripada usaha memelihara warisan budaya serta memperkukuh perpaduan masyarakat berbilang kaum.
“Ini adalah satu program tahunan yang saya laksanakan setiap kali menjelang sambutan Tahun Baharu Cina. Pada tahun ini, selain 22 kepala singa dan naga, turut disumbangkan sebuah kepala naga oleh seorang tokoh korporat di Penampang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan upacara buka mata singa dan naga, di sini, hari ini.
Ewon berkata, inisiatif tersebut mencerminkan komitmen kepimpinan tempatan dalam memastikan tradisi dan warisan kebudayaan masyarakat Cina terus dipelihara dan diwarisi dari generasi ke generasi akan datang.
“Inilah manifestasi kepelbagaian kaum di Penampang dan di Sabah yang mesti dipertahankan serta diteruskan sebagai contoh kepada kawasan lain, khususnya dalam memperkukuh perpaduan dan semangat saling hormat-menghormati,” katanya.
Beliau turut menyifatkan bulan Februari sebagai tempoh yang unik apabila Ramadan bermula hanya dua hari selepas Tahun Baharu Cina, sekali gus menggambarkan keistimewaan Malaysia sebagai negara berbilang kaum dan agama.
“Masyarakat Kristian juga akan memasuki satu musim penting Lent iaitu bulan puasa bagi umat Kristian, sekali gus menggambarkan dinamika kepelbagaian agama di negara ini yang terus dipelihara melalui sikap saling menghormati.
“Kita bertuah kerana walaupun berbeza latar belakang dan pandangan politik, rakyat masih mampu hidup bersama secara aman. Tidak banyak negara di dunia yang dapat meraikan kepelbagaian seperti ini,” katanya.
“Saya mengajak semua rakyat di sebalik perbezaan politik pandangan kita tentang kebudayaan dan tradisi ini mesti dipertahankan kerana bila kita berpecah akan menjejaskan Persekutuan Malaysia dan keharmonian kita di negara ini,” katanya.


















Comments