top of page

Ewon Sumbang RM30,000 Untuk Pembinaan Semula Gereja SIB Malamam

  • nabalunews
  • Jul 12, 2025
  • 1 min read

12 Julai 2025


SIPITANG: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, menyampaikan sumbangan sebanyak RM30,000 bagi menyokong pembinaan semula Gereja SIB Malamam, yang musnah akibat ribut kencang.


Sumbangan disampaikan Ketua Bahagian UPKO Sipitang Datuk Pengiran Lalung kepada Ketua Majlis Gereja SIB Malamam, Ating Labo, dalam satu majlis ringkas yang diadakan di tapak asal gereja berkenaan.


Gereja SIB Malamam mengalami kerosakan teruk dan tidak lagi dapat digunakan sejak dilanda bencana pada awal tahun 2024.

Dalam ucapan ringkas, Pengiran Lalung berkata, sumbangan itu diharap dapat mempercepatkan proses pembinaan semula bangunan baharu yang lebih selamat dan kukuh untuk kegunaan masyarakat.


Katanya, ia juga adalah salah satu inisiatif Datuk Ewon sebagai komitmen untuk membantu keperluan rakyat, termasuk dalam aspek kerohanian dan keagamaan, khususnya di kawasan luar bandar yang terjejas akibat bencana.


“Kita memahami keperluan mendesak untuk membina semula rumah ibadat ini khususnya untuk komuniti setempat.

“Sumbangan ini diharap akan menjadi permulaan kepada usaha lebih besar oleh pelbagai pihak untuk memastikan pembinaan gereja ini dapat disiapkan segera demi manfaat komuniti setempat,” katanya.


Sementara itu, Jawatankuasa UPKO Bahagian Sipitang turut mengadakan mesyuarat sebagai persediaan awal menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi DUN Sindumin.


Pengiran Lalung menekankan gerak kerja pilihan raya perlu dijalankan secara tersusun, inklusif dan fokus kepada kepercayaan rakyat terhadap UPKO dan kepimpinan kerajaan hari ini.

“Kita bukan sahaja perlu bersedia dari segi logistik, tetapi juga memahami denyut nadi rakyat. Segala pendekatan kita mesti berlandaskan kepada penyelesaian isu setempat,” tegas beliau.


Kedua-dua program yang dijalankan pada hari yang sama itu menggambarkan keprihatinan dan kesiapsiagaan UPKO dalam mendepani keperluan rakyat serta cabaran politik semasa di peringkat negeri.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page