Ewon sumbangkan RM50,000 baik pulih Asrama Desa Taginambur
21 November 2024
KOTA BELUD: Peruntukan RM50,000 dari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick bagi melaksanakan kerja baik pulih Asrama Desa Taginambur, Kota Belud dimanfaatkan sepenuhnya bagi pembaikan struktur bangunan, termasuk kerja-kerja memperbaiki dinding dan pendawaian elektrik untuk keselesaan penghuninya.
Tinjauan wartawan Nabalu News ke tapak projek Asrama Desa Taginambur pada 19 November lalu mendapati kerja baik pulih asrama turut melibatkan kerja mengecat semula, pembaikan lantai, serta penggantian tingkap dan pintu yang rosak.
Ruang dalaman asrama juga telah ditambah baik untuk memberikan lebih keselesaan kepada penghuni, khususnya pelajar.
Pengerusi Jawatankuasa Asrama Desa Taginambur, Simbih Gilingan memaklumkan asrama yang dibina pada 2011 ini telah memberi manfaat kepada ramai pelajar sepanjang tempoh operasinya.
Menurut beliau, asrama ini dijangka dibuka semula pada awal tahun depan untuk menempatkan pelajar Tingkatan 5 dan Tingkatan 6 dari Sekolah Menengah Kebangsaan Narinang, terutamanya pelajar dari keluarga kurang berkemampuan.
Simbih turut merakamkan penghargaan kepada Ewon atas peruntukan tersebut, yang membuktikan keprihatinan beliau terhadap keperluan pelajar di kawasan luar bandar.
“Sumbangan ini adalah satu komitmen yang jelas daripada YB Ewon untuk memastikan pelajar-pelajar di Kadamaian mendapat akses kepada kemudahan yang lebih baik, sekaligus menyokong usaha mereka dalam pendidikan,” katanya.
Menurut Simbih, inisiatif ini tidak hanya memastikan Asrama Desa Taginambur lebih selamat dan kondusif, tetapi juga membuktikan kesungguhan Ewon dalam pembangunan komuniti luar bandar.
Penduduk setempat amat menghargai usaha beliau dalam meningkatkan taraf hidup masyarakat, khususnya dalam sektor pendidikan.
Comments