Ewon temui diaspora Malaysia di Jordan, seru jadi ‘duta’ produk PMKS dan koperasi negara
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon temui diaspora Malaysia di Jordan, seru jadi ‘duta’ produk PMKS dan koperasi negara


28 April 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


JORDAN: Menteri Pembangunan dan Koperasi Datuk Benedick menemui Diaspora Malaysia di Jordan dan menyeru agar mereka dapat menjadi duta produk perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) dan koperasi negara.


Beliau berkata, kementeriannya bersedia membantu diaspora Malaysia di Jordan yang berminat untuk menceburi bidang keusahawanan terutamanya menerusi platform koperasi.


“Saya berharap agar diaspora dan para pelajar Malaysia menjadi duta kepada perkhidmatan, produk dan jenama daripada syarikat-syarikat PMKS, koperasi dan francais negara Malaysia di tempat bekerja atau kampus pengajian masing-masing.


“Pemasaran produk-produk Malaysia ke pasaran antarabangsa sudah tentunya memerlukan sokongan duta-duta seperti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sesi Ramah Mesra antara Delegasi KUSKOP dengan Diaspora Malaysia di Jordan, di Hotel Ritz Carlton, Amman, semalam.


Ewon berkata, kementeriannya menerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Institut Koperasi Malaysia (IKMa) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) bersedia membantu Diaspora Malaysia di Jordan yang ingin bekerjasama dengan koperasi di Malaysia.


“Penyertaan dalam kalangan profesional, belia dan penjawat awam dalam gerakan koperasi amat penting memandangkan golongan ini berupaya bertindak sebagai penyumbang idea bagi memastikan gerakan koperasi berkembang dinamik dan kekal relevan dengan perkembangan sosioekonomi negara.


“Saya percaya dengan pengalaman warga Malaysia di Jordan termasuk para pelajar yang hidup dan bekerja dalam persekitaran antarabangsa yang pelbagai dapat mengukuhkan lagi personaliti dan memupuk kemahiran menangani cabaran-cabaran serta mampu mewujudkan rangkaian global berpengaruh,” katanya.

Ewon berkata, PMKS berjaya menyumbang sebanyak 38.4% atau RM580.4 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), nilai eskport 10.5% atau RM144.5 bilion dan 48.2% atau 7.59 juta orang dalam sektor guna tenaga pada tahun 2022.

“Pada tahun lalu, bilangan koperasi juga terus melonjak kepada 15,809 buah dengan jumlah keanggotaan 7.2 juta orang, modal syer RM17.45 bilion, penjanaan aset RM165.89 bilion dan nilai perolehan sebanyak RM64.56 bilion.


“Bagi sektor francais, ia mempunyai lebih 1,000 jenama yang telah didaftarkan,” katanya dan menambah kementerian dan agensi-agensi kementerian sentiasa terbuka sekiranya mereka mahu menjadi usahawan PMKS, koperasi dan francais apabila kembali semula ke Malaysia.


Turut hadir Duta Besar Malaysia ke Jordan Tuan Yang Terutama Mohamad Nasir Abdul Rahman, Pengerusi SKM Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal; Setiausaha Bahagian Pembangunan Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil KUSKOP yang juga Anggota Lembaga ANGKASA, Azizul Alias; Ketua Pegawai Eksekutif SKM, Rusli Jaafar; Ketua Pengarah IKMa, Datuk Mohd Ali Mansor dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Dato’ Haji Abdullah Haji Jusoh.


Berdasarkan data dari Kedutaan Malaysia di Jordan, lebih 2,000 rakyat Malaysia berdaftar dengan pihak kedutaan Jordan, setakat April tahun ini.

bottom of page