Ewon terima kunjungan hormat Duta Besar Kerajaan Jordan
1 April 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar Jordan ke Malaysia TYT Dr. Ismael Maddallah Suliman Maaytah, di pejabatnya, hari ini.
Ewon berkata, antara yang dibincangkan ialah potensi kerjasama di antara agensi-agensi kementerian dan koperasi di Jordan.
“Kami membincangkan kerjasama antara Jordan Cooperative Corporation dengan Institut Koperasi Malaysia (IKMa) dan antara Jordan Enterprise Development Corporation dengan SME Corp Malaysia.
“Beliau juga menjemput saya untuk mesyuarat dua hala dengan Menteri Pembangunan Usahawan Jordan semasa lawatan kerja saya di Jordan sempena dengan Persidangan Menteri-Menteri Koperasi Asia Pacific, hujung bulan ini,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.
Ewon menghargai pengiktirafan Ismael Maddallah ke atas agensi-agensi terkait pembangunan koperasi dan keusahawanan di kementerian.
“Mudah-mudahan kerjasama ini akan terus berkembang menjadi berkat buat negara Malaysia dan kerjasama atara dua negara,” katanya.
Ewon dijadualkan untuk mengadakan lawatan kerja ke Jordan untuk menghadiri Persidangan Menteri-Menteri Koperasi Asia Pacific (APCMC), selama lima hari bermula 27 April hingga 1 Mei ini.
Turut hadir dalam kunjungan itu, Timbalan Ketua Setiausaha Dasar dan Pemantauan KUSKOP, Noor Afifah Abdul Razak, Setiausaha Bahagian, Bahagian Pembangunan Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil KUSKOP Azizul Alias, Ketua Pengarah IKMa, Datuk Mohd Ali Mansor dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Nainy dan Naib Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) Rozdeen Mohd Jaafar.
Comments