EWON TERIMA KUNJUNGAN HORMAT MUDA SABAH

8 April 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
PENAMPANG: Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick menerima kunjungan hormat daripada Malaysian United Democratic Alliance (MUDA) Sabah, di ibu pejabat UPKO, di sini, hari ini.
MUDA Sabah diketuai oleh Pengerusinya Shahrizal Denci dan disertai oleh Timbalan Pengerusi Lloyd Bosuin serta ahli jawatankuasa eksekutif MUDA Sabah.
Dalam kunjungan itu Ewon menyatakan sokongan terhadap pendaftaran parti MUDA sebagai satu wadah kepimpinan rakyat.

Dari segi program-program kemasyarakatan Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian bersedia untuk bekerjasama menganjurkan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan di kawasan Kadamaian.
“Saya akan terus berkepimpinan melalui wadah UPKO kerana ini adalah keluarga saya. Sesusah mana pun keluarga saya, saya tetap kekal di sini dan berusaha menambahbaik apa yang perlu ditambahbaik.

"Dalam masa yang sama, saya mengalu-alukan sebarang kerjasama dengan wadah politik lain untuk kepentingan rakyat selagi ianya tidak bertentangan dengan prinsip yang saya pegang.
“Untuk menghadapi pilihanraya, saya percaya sesuatu gabungan antara parti perlu diwujudkan dan diperkukuhkan bagi memberi tawaran kepimpinan kepada rakyat,” katanya.

Turut hadir Bendahari Pergerakan Pemuda UPKO Pusat Carlye Lajimin, Setiausaha Pergerakan Wanita UPKO Pusat Rowindy Lawrence, Ketua Generasi Muda (GEM) UPKO Maxolvine Sintore dan Setiausaha Kerja GEM Seheral Linus.
MUDA adalah sebuah parti politik kini dalam proses pendaftaran di Malaysia yang bercita-cita melangsungkan identiti dan pendekatan baharu berpolitik.
MUDA akan menjadi sebuah parti politik yang inklusif untuk seluruh warganegara merentas agama, bangsa, warna kulit, gender dan umur.
Ewon akan mengadakan kunjungan balas kepada Parti MUDA dan turut menjemput barisan pimpinan MUDA Sabah berkunjung ke Kadamaian.
Bình luận