Ewon Tingkatkan Kemudahan di Kampung Sogoh
- nabalunews
- Aug 12, 2025
- 1 min read

12 Ogos 2025
KOTA BELUD: Penduduk Kampung Sogoh menerima sumbangan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick, sebagai usaha memperkukuh kemudahan infrastruktur dan kesejahteraan penduduk setempat.
Sumbangan diserahkan wakil Pejabat Perhubungan ADUN Kadamaian kepada Ketua Cawangan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Kampung Sogoh, Soinah Sudompong, yang mewakili komuniti kampung berkenaan.
Antara sumbangan utama ialah pembelian lampu solar untuk dipasang di beberapa lokasi strategik di sekitar kampung.

Menurut Soinah, permohonan bantuan itu telah diluluskan oleh Ewon semasa Program Perasmian Pesta Kaamatan yang lalu.
Katanya, pemasangan lampu solar sudah siap sepenuhnya dan berharap lampu solar itu dapat meningkatkan tahap keselamatan serta memberikan kemudahan pencahayaan yang lebih baik kepada penduduk, khususnya pada waktu malam.
“Selain penyediaan lampu solar, sumbangan tersebut turut merangkumi kerja-kerja pendawaian dan pemasangan kipas di Dewan Komuniti Kampung Sogoh.
“Langkah ini bertujuan mewujudkan suasana yang lebih selesa untuk penduduk ketika menghadiri pelbagai program dan aktiviti di dewan berkenaan,” katanya
Soinah turut memaklumkan bahawa kerja-kerja penambahan dinding dapur di dewan tersebut sedang dilaksanakan.
“Penambahbaikan ini akan memperluas fungsi dewan, khususnya dalam penganjuran majlis kenduri, program sosial, dan acara rasmi yang melibatkan komuniti setempat,” katanya.
Menurutnya, sumbangan sebegini bukan sahaja membantu dari sudut penyediaan kemudahan fizikal, malah menyuntik semangat kepada penduduk untuk terus bersama-sama membangunkan kampung mereka.
“Inisiatif ini membuktikan komitmen berterusan ADUN Kadamaian dalam menjaga kebajikan dan memajukan kawasan yang diwakilinya.
“Dengan adanya kemudahan baharu ini, Kampung Sogoh dijangka menikmati taraf kehidupan yang lebih baik, sekali gus memperkukuh kesejahteraan masyarakat setempat,”’katanya.















Comments