- Wartawan Nabalu News
Ewon tinjau kerja-kerja baikpulih paip bocor di Kg.Hungab dan santuni penduduk kampung

14 September 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
PENAMPANG: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick meninjau kerja-kerja membaikpulih paip air yang bocor di Kg.Hungab, dekat sini, hari ini.
Tinjauan tersebut susulan kejadian 14 kali kebocoran paip utama di kawasan itu.
Menurut Ewon, penggantian keseluruhan paip telah dibincangkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah Penampang baru-baru ini.

Selepas itu, beliau meneruskan Program Turun Padang dengan mengunjungi beberapa kampung untuk menyampaikan sumbangan kepada penduduk yang memerlukan.
Di Kg Tunoh, Ewon menyampaikan sumbangan kepada Kelab Kebudayaan dan Pasukan Gong kampung tersebut.

Beliau turut memenuhi permintaan pengerusi JKKK kampung itu untuk mengadakan tinjauan sekitar Kg.Tunoh melihat sendiri permasalahan jalan raya dan saliran parit di kampung tersebut.
Kemudiannya Ewon mengunjungi Kg Sindanan untuk menyampaikan sumbangan katil kepada keluarga yang dikunjungi.

Beliau bersama pegawai Pusat Khidmat Ahli Parlimen Penampang mengakhiri program hari ini dengan mengadakan kunjungan ke Kg Nabangkung, Penampang dan beramah mesra dengan penduduk di kampung itu.
Sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian, Ewon menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Tetap DUN Sabah yang dipengerusikan oleh Speaker DUN Sabah, di Dewan Undangan Negeri, pagi tadi, sebelum menyempurnakan perasmian penutupan Hari Koperasi SMK Tansau, Penampang.
