top of page

Ewon tinjau kesan banjir dan tanah runtuh, sampaikan sumbangan

  • nabalunews
  • 4 hours ago
  • 2 min read

ree

13 September 2025


PENAMPANG: Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick, meninjau kesan banjir dan tanah runtuh di beberapa kampung di daerah ini seterusnya menyampaikan sumbangan.


Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi turut meninjau kawasan tanah runtuh di sepanjang Jalan Penampang-Tambunan, Kg Dungkahang, Kg Penampang Proper, Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Huguan Siou Kg Tuavon, PPS Kompleks Sukan Penampang serta beberapa lokasi lain.

ree

Tinjauan di Kampung Pogunon diketuai oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor. Turut serta ialah Menteri Kerja Raya Datuk Shahelmey Yahya dan ADUN Kapayan Datuk Jannie Lasimbang,


Sebanyak lapan lokasi tanah runtuh berlaku di sepanjang Jalan Penampang–Tambunan. Kerja-kerja pembersihan sedang dijalankan dan hanya satu lorong laluan jalan dibuka buat sementara waktu.


“Sebagai Ahli Parlimen Penampang, saya menghargai keprihatinan Ketua Menteri yang turut sama meninjau kawasan kesan banjir dan tanah runtuh di kawasan ini.

ree

“Beliau telah mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR), syarikat konsesi Lintasan Resources dan Sabah Electricity bagi memastikan pemulihan segera bagi keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya. Saya juga percaya isu bekalan air yang terputus di beberapa kampung akan diambil tindakan sewajarnya,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau kesan banjir dan tanah runtuh di beberapa kawasan sekitar Penampang, hari ini.


Ewon berkata, beliau juga telah mengarahkan Urusetia Pusat Khidmat Parlimen Penampang turun ke lapangan bermula kelmarin untuk menghantar bakul makanan, bergotong-royong membersihkan kesan banjir dan membayar perkhidmatan hitachi bagi pembersihan runtuhan di rumah kampung.

ree

Dalam lawatan itu, beliau menyampaikan sumbangan pam air (water pump) kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kg Dungkahang, Kg Penampang Proper dan Kg Tuavon untuk digunakan secara bergilir bagi membersihkan lumpur di kawasan rumah penduduk yang terjejas banjir.


Beliau juga meninjau PPS di Dewan Huguan Siou Kg Tuavon dan Kompleks Sukan Penampang.


Katanya, berbanding sebelum ini hanya Dewan Pusat Kebudayaan Sabah dijadikan PPS, kini sebanyak 21 bangunan awam dan komuniti di Penampang boleh diwartakan sebagai PPS sekiranya berlaku musibah banjir.


“Saya simpati atas kesusahan penduduk yang terjejas dan berharap bantuan serta kerja-kerja pemulihan dapat dijalankan segera,” katanya.


Ewon berkata, beliau telah memaklumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung bencana banjir dan tanah runtuh di Penampang semasa menghadiri mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Kuching semalam, sebelum pulang ke Sabah.


“Saya juga telah memaklumkan kepada Ketua Menteri Sabah beberapa penduduk yang rumah mereka terjejas teruk akibat banjir dan kesan tanah runtuh.


“Saya mencadangkan agar peruntukan Rumah Mesra SMJ diberikan bagi membina semula atau membaik pulih rumah penduduk berkenaan,” katanya.


Selain itu, Ewon berkata beliau telah memaklumkan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air mengenai keperluan melaksanakan projek tebatan banjir Penampang pakej 2 dan 4 bagi melengkapkan pakej 1 dan 3 yang sedang berjalan.


Dalam masa sama, beliau turut berbincang dengan Penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, Datuk Awang Shahminan Awang Sahari, mengenai bantuan ehsan kepada mangsa banjir di PPS.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page