top of page

Ewon tinjau Pelabuhan Tawau, kunjungi tiga usahawan tempatan

  • nabalunews
  • 2 hours ago
  • 2 min read

17 Mac 2026


TAWAU: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick mengadakan lawatan kerja ke Tawau bagi meninjau Pelabuhan Tawau serta mengunjungi tiga usahawan tempatan, hari ini.


Beliau bersama rombongan kementerian memulakan lawatan dengan mengunjungi Pelabuhan Tawau sebelum diberikan taklimat oleh Pengurus Kanan pelabuhan, Elsie Philip berhubung operasi dan perkembangan semasa kemudahan itu.


Ewon berkata, beliau menghargai inisiatif berterusan di bawah kepimpinan baharu Suria Capital Holdings Berhad dan Sabah Ports Sdn Bhd yang komited meningkatkan kecekapan operasi pelabuhan melalui perolehan jentera baharu.


Menurutnya, usaha tersebut selaras dengan pertumbuhan ekonomi Tawau yang semakin pesat dan memerlukan sistem logistik yang lebih efisien.


“Saya juga menekankan kepentingan memperkukuh komunikasi antara pihak pengurusan pelabuhan dan pengguna bagi memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan dapat difahami serta dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya.

Dalam lawatan itu, beliau turut dibawa meninjau jeti Jabatan Dermaga dan Pelabuhan Sabah yang digunakan untuk pengangkutan penumpang ke Pulau Sebatik.


Selain itu, Ewon turut mengunjungi perusahaan Shasyn Food Processing yang mengeluarkan produk bebola daging.


Beliau berkata, ketika berkhidmat di Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), perusahaan berkenaan telah menerima geran bagi perolehan mesin yang kini digunakan dalam pengeluaran produk.


Katanya lagi, Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) di bawah Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) Sabah turut membantu mendapatkan pensijilan halal bagi premis tersebut.

“Diharapkan perusahaan ini terus berkembang maju termasuk dengan pembinaan kilang baharu yang sedang disiapkan serta menjadi contoh kepada usahawan lain,” katanya.


Sementara itu, beliau turut mengunjungi perusahaan KHM Trading yang mengeluarkan produk pes masakan berasaskan daging, ayam dan ikan.


Ewon berkata, perusahaan tersebut menerima bantuan pembungkusan daripada MINDET Sabah, selain turut terlibat dalam penternakan ayam sebagai sumber bahan mentah serta menyediakan perkhidmatan katering.


“Semoga perusahaan ini terus berkembang maju dan menjadi contoh kepada usahawan lain,” katanya.


Dalam lawatan berasingan, Ewon turut melawat perusahaan Kerupuk Lelek Enterprise yang menghasilkan produk kerupuk amplang.

Beliau berkata, semasa di KUSKOP, perusahaan itu telah menerima geran bagi perolehan mesin pembungkusan yang membantu meningkatkan produktiviti.


Tambahnya, MINDET Sabah juga menyalurkan bantuan pembungkusan kepada perusahaan tersebut.


“Diharapkan perusahaan ini terus berkembang maju termasuk membuka cawangan baharu di Kota Kinabalu serta menjadi inspirasi kepada usahawan lain,” katanya.



 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page