Ewon tinjau pelaksanaan pelbagai projek pembangunan di Kadamaian
- nabalunews
- Oct 4
- 2 min read

4 Oktober 2025
KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick meluangkan masa meninjau pelaksanaan dan kemajuan pelbagai projek pembangunan komuniti di beberapa buah kampung di Kadamaian, di sini, hari ini.
Antara kampung yang dikunjungi ialah Kg Gonok, Kg Kebidahan, Kg Bundu Lapak, Kg Takulung, Kg Lompios, Kg Podi dan Kg.Piak.
Di Kg.Gonok, Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, meninjau pembinaan dewan terbuka yang sedang rancak dilaksanakan menggunakan peruntukan ADUN Kadamaian melalui Pejabat Daerah Kota Belud.

Beliau berharap kemudahan tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk kampung untuk pelbagai aktiviti kemasyarakatan apabila siap kelak.
Ewon turut meninjau dewan terbuka Kg Kebidahan dan Kg Bundu Lapak yang baharu siap dibina hasil sumbangan Gerakan Koperasi Wilayah Persekutuan melalui Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

Projek tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) berkenaan.
Kemudiannya, beliau meninjau tapak pembinaan jambatan gantung Kg Takulung, yang akan dimulakan dalam masa terdekat menggunakan peruntukan ADUN Kadamaian. Projek ini dilaksanakan melalui Pejabat Daerah Kota Belud dan dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk kampung.

Di Kg Lompios, Ewon meninjau kerja-kerja pembinaan gereja Sidang Injil Borneo (SIB) yang sedang giat dijalankan menggunakan teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS).
Dalam lawatan itu, beliau turut bersetuju menyampaikan peruntukan tambahan sebanyak RM30,000 bagi membantu menyiapkan pembinaan gereja tersebut menjelang sambutan Krismas tahun ini.

Ewon kemudian menghadiri Majlis Mesra Penduduk di Kg Podi, bersempena peluncuran projek Tamu Desa Podi, yang berkonsepkan dewan terbuka.
Projek berjumlah RM200,000 ini dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan kini berada di fasa awal pembinaan. Ia bertujuan menyediakan kemudahan lebih selesa kepada para usahawan tempatan yang berpindah dari tapak tamu lama.

Sempena peluncuran itu, Ewon turut meluangkan masa menyantuni usahawan tempatan yang menjual pelbagai produk termasuk kuih-muih, hasil tani dan kraftangan.
Seterusnya Ewon melawat Kg Piak, bagi meninjau dewan terbuka yang siap dilaksanakan menggunakan Peruntukan Khas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang disalurkan terus kepada JKKK kampung itu.
Beliau berkata, pelaksanaan projek-projek ini membuktikan komitmen berterusan kerajaan dan pelbagai pihak dalam memperkasa kemudahan komuniti serta merancakkan pembangunan Kadamaian.
Comments