top of page

Ewon tinjau premis francaisi AZ Motorsport, bangga kejayaan jenama francais automatif tempatan

  • Wartawan Nabalu News
  • 1 day ago
  • 2 min read

23 Mei 2025


JOHOR BAHRU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick meninjau premis francaisi AZ Motorsport Distributor Sdn. Bhd. di Bandar Dato Onn, di sini, antara cawangan francais yang semakin berkembang di bawah jenama tempatan, AZ Motorsport.


Ewon berkata, beliau bangga melihat kejayaan jenama francais automatif tempatan seperti AZ Motorsport.


“Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyokong sepenuhnya pembangunan jenama francais ini, khususnya melalui agensi PERNAS yang menyediakan pembiayaan sehingga 80 peratus kepada usahawan francaisinya.


“Semasa Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Johor pada Jun 2024, saya menyampaikan pembiayaan kepada dua usahawan francaisi syarikat ini dan saya berbangga melihat sendiri perusahaan dan perkembangan perniagaan mereka pada hari ini.

“Selain perusahaan francais, syarikat ini juga membangunkan peluang kerjaya kepada pelajar-pelajar dalam bidang teknikal melalui kerjasama dengan sekolah-sekolah menengah.


“Saya ucapkan tahniah kepada AZ Motorsport di atas semua pencapaian cemerlang dan saya berharap agar kejayaan mereka akan terus menjadi inspirasi kepada usahawan francais yang lain di negara ini,” katanya selepas mengadakan lawatan ke premis AZ Motorsport, di sini, hari ini.


AZ Motorsport Distributor Sdn. Bhd. diusahakan oleh usahawan muda francaisi, Mohd Nurulhashim Mohd Muhajir, yang sebelum ini bekerja bersama syarikat induk sebelum memulakan perniagaan francaisinya hampir dua tahun lalu.


Jenama AZ Motorsport yang dimiliki oleh pasangan usahawan, Mohd Norzee Mohd Muhajir dan Haniza Harin, mula beroperasi di Bandar Baru Permas Jaya pada tahun 2008 dan kini memiliki lebih 10 cawangan di Johor Bahru dan Selangor.

Syarikat ini telah didaftarkan sebagai pemberi francais rasmi di bawah Program PERNAS Xcelerator pada April 2023 dan merancang untuk menembusi pasaran Kuala Lumpur menjelang hujung tahun ini.


Selain menawarkan perkhidmatan penyelenggaraan automotif seperti penggantian tayar, servis sistem penghawa dingin dan pembekalan alat ganti, AZ Motorsport turut bekerjasama dengan sekolah menengah untuk memberi peluang latihan industri kepada pelajar dalam bidang teknikal, menyokong pembangunan bakat muda dalam sektor ini.


Turut hadir Ketua Pegawai Francais Azizam Ramli dan Eksekutif Kanan Pejabat PERNAS Koridor Selatan Arina Mahirah Maslani.

コメント


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page