Ewon tinjau projek naik taraf Tamu Donggongon dan Kepayan Square
- nabalunews
- 4 hours ago
- 2 min read

5 Jun 2026
PENAMPANG: Timbalan Ketua Menteri III Sabah merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick, meninjau perkembangan dua projek pembangunan utama di kawasan Penampang iaitu projek menaik taraf Ruang Legar Kepayan Square dan pembinaan Tamu Donggongon, di sini, hari ini.
Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, kedua-dua projek tersebut dijangka memberi manfaat besar kepada komuniti setempat, khususnya para usahawan penjaja dan peniaga kecil serta pengunjung.
Beliau berkata, projek menaik taraf Ruang Legar Kepayan Square telah siap sepenuhnya dengan peruntukan sebanyak RM1 juta daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) hasil permohonan yang dikemukakan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayan, Datuk Jannie Lasimbang.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Nga Kor Ming, yang telah menyalurkan peruntukan tersebut kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bagi menjayakan projek ini.
“DBKK juga merancang beberapa lagi fasa pembangunan dan kerja-kerja menaik taraf di kawasan ini yang melibatkan permohonan peruntukan tambahan,” katanya selepas meninjau projek berkenaan.
Ewon berkata, kemudahan baharu itu bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti kejiranan Kepayan dan para peniaga, malah berpotensi menjadi lokasi pelbagai program kemasyarakatan.

“Program rakyat seperti sambutan Pesta Tanglung dan Tahun Baharu Cina boleh terus diadakan di kawasan ini seperti yang pernah dianjurkan oleh urusetia saya di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Penampang dengan kerjasama Kapitan-Kapitan Cina Penampang.
“Saya gembira melihat hasil usaha ini dapat direalisasikan semasa saya berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Penampang,” katanya.
Sementara itu, Ewon turut meninjau kerja-kerja pembinaan Tamu Donggongon yang kini mencapai kemajuan fizikal sebanyak 92 peratus.

Beliau berkata, projek bernilai RM8.5 juta itu dilaksanakan menggunakan peruntukan daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri sebagaimana yang diumumkan oleh kerajaan terdahulu.
“Projek ini pada asalnya dijadualkan siap pada April 2026. Namun, syarikat pelaksana diberikan lanjutan masa sehingga Disember 2026 berikutan semakan semula skop projek, khususnya melibatkan kerja-kerja elektrikal.
“Saya yakin kemudahan baharu ini akan memberi manfaat kepada para usahawan penjaja dan peniaga kecil, para pengunjung serta komuniti Penampang secara keseluruhannya,” katanya.
Beliau turut melahirkan rasa gembira apabila projek naik taraf Tamu Donggongon yang diusahakan ketika beliau menjadi Ahli Parlimen Penampang kini berada di peringkat akhir pelaksanaan dan dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun ini.















Comments