Ewon tinjau pusat mengundi di Penampang selepas tunaikan tanggungjawab mengundi di SK Kiau
- Wartawan Nabalu News
- Nov 19, 2022
- 1 min read

19 November 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
PENAMPANG: Calon Pakatan Harapan (PH) Penampang Datuk Ewon Benedick selesai menunaikan tanggungjawab mengundi di SK Kiau, Kota Belud, kira-kira jam 8 pagi, hari ini.
Selepas itu beliau bergegas balik ke Penampang untuk melaksanakan tanggungjawabnya sebagai bakal wakil rakyat kawasan itu dengan meninjau pusat-pusat mengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Moyog dan DUN Kapayan.
Beliau diiringi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kapayan dan pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan Penampang.

Antara Pusat Mengundi yang mereka tinjau, SK Moyog, SK Babagon, SK St Theresa, Sk St Aloysius Limbanak, SK Sugud, SJK (C) Yue Min, SJK (C) Shan Tao, SK Kapayan dan Dewan Kg. Kibouvang Kepayan.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Ewon yang juga bakal Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berdepan saingan sengit antara penyandang kerusi Parlimen Penampang Datuk Darell Leiking (Warisan), Richard Jimmy (Bebas) dan Kenny Chua Teck Ho (GRS-STAR).

Parlimen Penampang mempunyai sebanyak 77,214 pengundi berdaftar pada PRU15 yang majoritinya kaum Kadazandusun.
Secara keseluruhannya sebanyak 900 pusat mengundi di Sabah dibuka sejak jam 7.30 pagi sehingga 5.30 petang ini.

Pada PRU13, Darell yang bertanding atas tiket PKR, memenangi Parlimen Penampang selepas menewaskan Presiden UPKO, Tan Sri Bernard Dompok. Darell berjaya mempertahankan kerusi itu pada PRU14.

Comments