top of page

Ewon tinjau sendiri pemohon Rumah SMJ di Kadamaian

  • nabalunews
  • 29 minutes ago
  • 2 min read
Ewon meninjau rumah seorang pemohon rumah SMJ di Kg.Piasau
Ewon meninjau rumah seorang pemohon rumah SMJ di Kg.Piasau

31 Januari 2025


KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick hari ini meluangkan masa sehari suntuk turun padang meninjau sendiri permohonan Rumah Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dikemukakan kepada Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian.


Beliau berkata, lawatan berkenaan memberi peluang kepadanya untuk berjumpa secara langsung dengan keluarga-keluarga pemohon serta melihat sendiri keadaan kediaman semasa mereka.


“Hari ini, saya bersama UPPM Kadamaian meninjau sebanyak tujuh buah rumah di kawasan Kadamaian iaitu, Kg.Tombulion, Kg.Piasau, Kg.Rangalau, Kg.Bukid, Kg.Tegudon, Kg.Rangalau dan Kg.Kelawat Pekan bagi melihat sendiri keadaan rumah berkenaan.


“Sepanjang lawatan ini, terdapat beberapa rumah yang sangat daif dan sesetengah rumah dihuni lebih 10 orang termasuk ibu bapa, anak-anak serta cucu-cucu yang telah berkahwin.


“Ada anak-anak yang masih bersekolah dan keadaan rumah yang sempit serta uzur menjadi cabaran besar kepada mereka untuk belajar dan menyiapkan kerja sekolah,” katanya.


Sehubungan itu, Ewon menegaskan komitmen Kerajaan Sabah dalam menyediakan Rumah SMJ kepada keluarga yang benar-benar memerlukan.


Menurutnya, setiap kawasan Dewan Undangan Negeri diperuntukkan sebanyak 50 buah Rumah SMJ pada tahun ini, namun keperluan tambahan khususnya melibatkan keluarga yang mendiami rumah sehingga tiga generasi akan terus dibawa untuk pertimbangan kerajaan negeri.


“Bagi tahun ini, sebanyak 50 buah Rumah SMJ baharu akan dibina di kawasan DUN Kadamaian dan pelaksanaannya diharapkan dapat dibuat dengan segera.


“Sekiranya terdapat keperluan tambahan, sudah tentu menjadi tanggungjawab saya untuk berbincang dengan Ketua Menteri Sabah, memandangkan DUN Kadamaian merupakan antara kawasan yang amat memerlukan bantuan pembinaan rumah baharu,” katanya.


Sebagai ADUN Kadamaian, katanya, isu perumahan merupakan antara perjuangan peribadinya dalam mengangkat kesulitan yang dihadapi keluarga berpendapatan rendah di kawasan itu.


“Program Rumah SMJ, telah dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu,” katanya dan menambah pembinaan Rumah SMJ turut disertakan dengan kemudahan utiliti asas seperti bekalan air dan elektrik.


“Namun, terdapat permohonan tambahan berkaitan pemasangan tiang serta sambungan elektrik ke rumah-rumah baharu yang terletak jauh dari sumber bekalan sedia ada.


“Perkara ini akan kita bantu sedaya upaya melalui peruntukan ADUN,” kata Ewon.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page