top of page

Ewon turun padang temui penduduk Kg.Terian dan Kg.Buayan

Wartawan Nabalu News
Ewon bergambar bersama sebahagian daripada rombongan lawatan ke Kg.Terian dan Buayan.

28 April 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick buat julung kalinya mengadakan lawatan ke Kg.Terian dan Kg.Buayan selepas diberikan mandat sebagai Ahli Parlimen Penampang pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), November 2022.


Dua buah kampung itu yang terletak lebih kurang 30 kilometer dari Pekan Donggongon antara kampung pedalaman di Penampang yang amat mencabar kerana jalan perhubungan kampung itu jalan tanah merah, berbukit dengan merentasi beberapa sungai dan hanya boleh dilalui kenderaan pacuan empat roda.

Menurut penduduk kampung, jalan menghubungkan Kampung Buayan siap dibina pada 2013 manakala jalan ke Kg.Terian siap pada 2007.


Walaupun jalan menghubungkan kampung berkenaan siap beberapa tahun lalu namun ia masih sukar dilalui kenderaan ringan, malah kenderaan pacuan empat roda juga mengalami kesukaran terutamanya pada musim hujan.


Sebelum ini penduduk di kedua-dua kampung itu terpaksa berjalan kali selama enam hingga lapan jam untuk mendapatkan barangan keperluan atau memasarkan hasil pertanian di Pekan Donggongon.

Jalan tanah merah, antara laluan mencabar terutamanya pada musim hujan.

Lawatan Ewon ke kampung berkenaan selama dua hari yang berakhir hari ini, disertai Kelab WRS Penampang. Konvoi melibatkan 30 buah kereta pacuan empat roda termasuk pasukan polis, wakil Jabatan Air dan Jabatan Kerja Raya (JKR) disertai kira-kira 70 orang.


“Saya memilih menaiki kereta untuk melawat kedua-dua kampung ini kerana ingin merasai kesukaran dan cabaran perjalanan yang dilalui penduduk kampung.


“Keadaan jalan amat mencabar dan sememangnya memerlukan perhatian kerajaan.

Ewon ketika berucap pada program bersama penduduk kampung dan guru-guru SK Buayan, di kampung itu kelmarin.

“Sebab itu, saya berharap penduduk di kedua-dua kampung memberikan kerjasama kepada Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) yang melaksanakan Pelan Pembangunan Penampang.


“Semua keperluan penduduk kampung terutamanya penaiktarafan jalan raya dan pembinaan kemudahan-kemudahan lain akan dimasukkan dalam pelan pembangunan itu,” katanya.

Laluan ke Kg.Terian dan Buayan, tiada pilihan terpaksa meredah sungai untuk sampai ke kampung itu.

Sementara itu wakil penduduk Kg.Terian Blasius Sipail berkata, sebelum jalan raya kampung itu dibina pada 2007, mereka terpaksa berjalan kaki selama lapan jam ke Pekan Donggongon.


“Jalan ke kampung kami sudah dibina tetapi malangnya ia masih sukar dilalui terutamanya pada musim hujan kerana licin dan berlumpur.


“Oleh itu, kami merayu kepada kerajaan supaya mempercepatkan penaiktarafan jalan itu atau sekurang-kurangnya menabur batu, membina kalbut dan parit,” katanya.


Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page