Ewon turun padang tinjau 4 gotong royong di Kg Sayap
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon turun padang tinjau 4 gotong royong di Kg Sayap


Ewon meninjau jalan kuburan yang dibina secara bergotong royong.

2 Ogos 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick turun padang menyantuni penduduk Kg.Sayap yang melaksanakan empat program gotong-royong hari ini.


Selain menghadiri program gotong-royong membaikpulih jalan pertanian dan jalan kuburan serta pembinaan dewan persatuan wanita kampung itu, Ewon turut meluangkan masa menziarahi beberapa keluarga penduduk kampung dan menyampaikan sumbangan bantuan.


Ewon berkata, aktiviti gotong-royong bukan sahaja dapat mengeratkan perpaduan di kalangan penduduk kampung tetapi juga menjimatkan kos perbelanjaan untuk menyiapkan keperluan pembangunan kecil-kecilan di kawasan kampung.

Ewon bersalaman dengan penduduk kampung yang menyertai gotong royong membina Dewan Persatuan Wanita Kg.Sayap.

“Semasa Sambutan Pesta Kaamatan di kampung itu pada bulan Jun lepas, tiga cawangan UPKO yang ada di Kampung Sayap telah memohon sumbangan bagi mengadakan program gotong-royong di cawangan masing-masing. Pihak gereja juga memohon sumbangan untuk tabung pembangunan.


“Justeru, dalam ucapan tersebut, saya telah bersetuju untuk menyalurkan sumbangan sebanyak RM20,000 untuk melaksanakan program gotong-royong termasuk untuk tabung pembangunan gereja Sidang Injil Borneo (SIB) Kg.Sayap.


“Saya tunaikan permohonan itu kerana ini adalah tanggungjawab saya sebagai Wakil Rakyat kawasan Kadamaian untuk meringankan bebanan penduduk kampung. Saya telah menyalurkan sumbangan tersebut dua minggu lepas dan hari ini turun padang meninjau program gotong-royong di ketiga-tiga cawangan UPKO dan seterusnya gotong-royong di gereja,” katanya, di sini, hari ini.

Ewon ketika berucap.

Beliau turut menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri menyalurkan peruntukan pembangunan khas di kawasan diwakili Wakil Rakyat pembangkang seperti Kadamaian melalui pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) seperti dijelaskan di sidang DUN baru-baru ini.


“Walaupun peruntukan tidak disalurkan melaui saya, tetapi saya berharap peruntukan pembangunan yang disalurkan melalui UPPM Kadamaian dapat dilaksanakan dengan baik untuk manfaat semua rakyat Kadamaian,” katanya.


Dalam lawatan itu Ewon yang juga Naib Presiden UPKO menyampaikan sumbangan sebanyak RM5,000 untuk tabung pembangunan gereja Sidang Injil Borneo (SIB) Kg.Sayap yang kini dalam fasa penyiapan akhir.

Ewon meluangkan masa melawat penduduk kampung yang memerlukan bantuan.

Ewon turut meluangkan masa mendengar keperluan guru-guru SK Sayap dan Klinik Kesihatan kampung itu.


Sementara itu Ketua Cawangan UPKO Kg.Sayap Magambai Lidin Lukasan memuji usaha dan kesungguhan Ewon membantu rakyat Kadamaian.


“Setiap kali beliau (Ewon) melawat kampung, sentiasa ada “buah tangan” daripadanya untuk penduduk kampung. Ini lah wakil rakyat yang kami nanti-nantikan selama ini. Beliau telah menunaikan apa yang telah beliau cakap dalam ucapan semasa Kaamatan di kampung kami pada Jun lepas.

Ewon menyampaikan sumbangan kepada wakil gereja SIB kampung itu.

“Kami memahami YB kini dalam blok pembangkang dan tidak lagi memegang peruntukan seperti sebelum ini semasa beliau memegang jawatan sebagai menteri penuh.


“Bagaimanapun itu tidak pernah menghalang beliau untuk terus membantu keperluan dan permohonan penduduk kampung terutama yang telah beliau sebut dalam ucapan. Kami bangga mempunyai seorang wakil rakyat seperti Ewon yang amat prihatin terhadap rakyat,” katanya.


Sehubungan itu beliau menyeru semua penduduk Kadamaian supaya terus memberikan sokongan padu kepada Ewon.


Ewon meluangkan masa mendengar keperluan guru-guru SK. Sayap.

Ewon meninjau jalan Klinik Kesihatan Kampung itu yang perlukan pembaikan.

Dewan mini yang sedang dalam pembinaan melalui gotong-royong.

Jalan pertanian kampung itu yang dilaksanakan secara bergotong-royong.

Pondok lama Persatuan Wanita Kg. Sayap.


bottom of page