top of page

Ewon yakin SOGIP mampu menyumbang agenda Sabah First

  • nabalunews
  • 3 hours ago
  • 2 min read

Ewon ketika ditemui pemberita selepas  kunjungan ke Pejabat SOGDC SOGIP
Ewon ketika ditemui pemberita selepas kunjungan ke Pejabat SOGDC SOGIP

13 Disember 2025


SIPITANG: Timbalan Ketua Menteri III Sabah, Datuk Ewon Benedick yakin Sipitang Oil and Gas Industrial Park (SOGIP) mampu menjadi pemacu utama kepada agenda Sabah First, khususnya dalam menjana peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan rakyat Sabah.


Beliau yang juga Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata, berdasarkan taklimat daripada Sabah Oil & Gas Development Corporation Sdn. Bhd. (SOGDC), kira-kira 90 peratus daripada keseluruhan kawasan SOGIP telah dikomitmenkan kepada pelaburan yang telah mendapat kelulusan.


“Ini jelas menunjukkan keyakinan tinggi para pelabur terhadap potensi kawasan perindustrian SOGIP.


“Saya amat yakin SOGIP bukan sahaja akan menyumbang hasil kepada Kerajaan Negeri, malah menyediakan peluang pekerjaan yang sangat besar kepada rakyat Sabah, khususnya graduan tempatan dan penduduk di daerah Sipitang,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan kunjungan ke pejabat SOGDC di SOGIP, hari ini.


Ewon mengadakan lawatan kerja ke SOGIP bagi meninjau perkembangan taman perindustrian gas dan minyak yang diuruskan oleh SOGDC, sebuah agensi di bawah seliaan Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah.

Ewon bergambar bersama pegawai Petronas di pejabat projek PFLNG 3 di SOGIP
Ewon bergambar bersama pegawai Petronas di pejabat projek PFLNG 3 di SOGIP

Beliau yakin beberapa lagi pelaburan yang telah diluluskan akan memulakan projek masing-masing di SOGIP pada awal tahun hadapan, sekali gus mengukuhkan kedudukan SOGIP sebagai hab industri strategik negeri.


“Saya percaya SOGDC akan terus menyumbang kepada pembangunan rakyat Sabah yang berpendapatan melalui pelaburan dan perusahaan berimpak tinggi yang sedang dan akan dilaksanakan di SOGIP.


“Saya turut berkongsi wawasan serta hala tuju kementerian dan berharap pasukan Sabah First di SOGDC terus diperkasakan bagi menyediakan perkhidmatan berkualiti kepada semua pemegang taruh, termasuk merealisasikan unjuran pembayaran dividen kepada Kerajaan Negeri Sabah,” katanya.


Terdahulu, beliau menyempurnakan upacara ringkas pecah tanah bagi pembangunan Fasiliti Pengurusan Sisa Terjadual oleh E-Concern Borneo yang melibatkan pelaburan keseluruhan sekitar RM1.1 bilion, dilaksanakan secara berfasa merangkumi empat fasa.

Ewon diberikan taklimat ringkas mengenai  projek MOLF oleh SOGIP Port Sdn. Bhd.
Ewon diberikan taklimat ringkas mengenai projek MOLF oleh SOGIP Port Sdn. Bhd.

Beliau kemudiannya melawat dan meninjau pelaksanaan pelaburan Esteel di SOGIP yang melibatkan nilai pelaburan keseluruhan sekitar RM31 bilion, menjadikannya antara pelaburan industri terbesar ketika ini.


Ewon turut dibawa meninjau pelaksanaan projek jeti Esteel, yang merupakan komponen penting dalam keseluruhan rantaian industri syarikat berkenaan dan kini sedang giat dilaksanakan, selain dimaklumkan mengenai keperluan tambahan kawasan bagi fasa pelaburan seterusnya.


Selain itu, Ewon turut mengadakan kunjungan ke pejabat projek PFLNG 3 di SOGIP dan diberikan taklimat mengenai operasi PETRONAS di sana termasuk perkembangan projek PFLNG 3, dan Sipitang Utilities yang sedang dalam pembinaan, serta operasi PETRONAS Chemicals Fertiliser (SAMUR)

Ewon ketika mengadakan kunjungan ke Petroventure Energy Sdn. Bhd.
Ewon ketika mengadakan kunjungan ke Petroventure Energy Sdn. Bhd.

Beliau juga melawat tapak projek MOLF oleh SOGIP Port Sdn. Bhd. serta projek Petroventure Energy Sdn. Bhd., dan menerima taklimat daripada ketua pegawai eksekutif masing-masing.


“Saya amat yakin SOGDC akan terus menyumbang kepada pembangunan rakyat Sabah yang berpendapatan melalui pelaburan dan perusahaan berimpak tinggi di SOGIP.


“Saya juga berharap pasukan Sabah First di SOGDC terus diperkasakan demi memastikan perkhidmatan terbaik kepada pemegang taruh serta pulangan mampan kepada Kerajaan Negeri,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page