EWON ZAHIR PENGHARGAAN KEPADA AGONGEWON ZAHIR PENGHARGAAN KEPADA AGONG
top of page
  • nabalunews

EWON ZAHIR PENGHARGAAN KEPADA AGONG

Ewon Benedick

25 OKTOBER 2020

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick menzahirkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong atas keputusan tidak mengisytiharkan darurat di negara ini.

Ewon yang juga Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata, keputusan menolak pengisytiharan darurat menunjukkan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja juga boleh memainkan peranan semak dan imbang kepada kerajaan terutama apabila menerima nasihat-nasihat dan syor-syor daripada seseorang Perdana Menteri.

“Terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong yang telah berbincang dengan Raja-Raja Melayu hari ini dan seterusnya membuat keputusan menolak syor Perdana Menteri.

“Kita sudah ada akta berkaitan yang boleh dan sedang digunakan bagi menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan.

“Cadangan mengisytiharkan darurat hanya menunjukkan kelemahan kerajaan dan lebih bersifat mahu menyelamatkan jawatan sebagai Perdana Menteri. Itu pandangan saya,” katanya, dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Ewon berkata, Perdana Menteri dan pihak kerajaan masih mempunyai option lain.

“Begitu juga dengan pihak pembangkang, iaitu kerjasama dan perpaduan bagi menangani penularan wabak Covid-19,” katanya.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara petang tadi, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riáyatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah tiada keperluan untuk darurat diisytiharkan di negara ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamuddin memaklumkan Al-Sultan Abdullah bertitah perkara itu diputuskan setelah memperhalusi permohonan yang dipersembahkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan berbincang dengan Raja-Raja Melayu selain melihat situasi sedang dihadapi negara ketika ini.

bottom of page