Fadhlina gesa program GADIS diperluas ke seluruh negara
- nabalunews
- 4 days ago
- 1 min read

20 Julai 2025
KOTA KINABALU: Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menggesa penganjuran Program Citra Gadis Unggul (GADIS) diperluas ke seluruh negara sebagai agenda memperkasa potensi pelajar perempuan.
Beliau berkata agenda pemberdayaan perlu diterapkan dari peringkat awal supaya potensi pelajar perempuan di negara ini dapat terus dikembangkan menjadi insan yang holistik dan cemerlang.
“Ini antara tumpuan utama kami pada waktu ini untuk memberi kesedaran kepada anak-anak perempuan mengenai hak mereka untuk mendapat peluang pendidikan terbaik dan mencapai impian dalam kehidupan.
“Pengalaman menjadi aktivis bertahun-tahun, kini saya membawa pendayaan GADIS sebagai agenda penting. Hanya pendidikan sahaja yang boleh mengubah masa hadapan anak-anak kita,“ katanya dalam satu hantaran Facebook hari ini.
Terdahulu, Fadhlina menghadiri program GADIS yang dianjurkan dengan kerjasama rakan strategik Kementerian Pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan Salaping, Kota Marudu.
Program itu diadakan bagi meningkatkan kesedaran tentang pentingnya pendidikan sebagai asas pemberdayaan golongan gadis serta memperkasa suara dan hak mereka dalam ruang yang selamat dan dipercayai.
Comments