Fadillah ditugaskan untuk pastikan pelaksanaan MA63
5 Disember 2022
Oleh Farah Salim
PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof ditugaskan untuk memastikan pelaksanaan bahagian Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang masih tergendala.
Manakala Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pula dipertanggungjawabkan untuk pengurusan bencana banjir yang dijangka melanda negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selain itu Ahmad Zahid dan Fadillah juga berperanan memastikan jurang ekonomi antara rakyat di Semenanjung serta Sabah dan Sarawak dikurangkan dengan langkah-langkah yang akan diambil bagi mengatasi masalah itu.
"Fadillah diberikan tugas untuk pastikan perkara bersangkut MA63 disegerakan terutama yang menimbulkan keresahan perlu segera diselesaikan," katanya .
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet Pertama Kerajaan Perpaduan di Putrajaya, hari ini.
Anwar turut mengumumkan penurunan kadar cabutan khas nombor ramalan daripada 22 kali setahun kepada hanya 8 kali setahun.
Pada Sept 2021, kerajaan ketika itu meluluskan kekerapan cabutan khas nombor ramalan dari lapan kali kepada 22 kali.
Mengenai permasalahan monopoli import beras di negara ini, Anwar berkata: “kerajaan pimpinan saya tidak lagi akan mengizinkan monopoli import beras terus berlaku tatkala kepentingan dan hak pesawah miskin diinjak tanpa noktah”.
“Tan Sri Syed Mokhtar bersetuju untuk memperuntukkan RM10 juta kepada pesawah untuk tahun ini dan RM50 juta pada tahun hadapan,” katanya.
Beliau berkata, Jemaah menteri juga bersetuju sebulat suara kepada pemotongan sebanyak 20 peratus gaji sehingga ekonomi negara pulih.
“Ini merupakan ikrar saya saat berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Ada yang menyindir kononnya saya tak ambil gaji sebagai Perdana Menteri tapi akan ambil gaji sebagai Menteri Kewangan. Salah. Faktanya, skim gaji ini satu saja. Maknanya saya tidak akan ambil gaji sebagai Perdana Menteri dan juga Menteri Kewangan sekaligus,” katanya.
Anwar berkata: “kerajaan akan menyiasat perbelanjaan melampau tinggi oleh kerajaan lalu sehingga mencecah RM600 bilion secara tanpa tender bagi meneliti sejauh mana ketirisan dan penyelewengan berlaku, dan siapa atau tokoh mana yang membolot kekayaan tatkala rakyat dan negara berdepan kemelut pandemik”.
“Saya ingin menegaskan bahawa tidak ada pengarahan dari saya, kerajaan atau Pejabat Perdana Menteri untuk menyiasat kritikan terhadap saya mahupun kerajaan pimpinan saya kerana hak berpandangan atau mengkritik termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Saya turut memaklumkan pendirian ini kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani.
“Memainkan sentimen perkauman dan mengapi-apikan adu domba antara agama sebaliknya bukan satu bentuk kritikan tetapi cubaan oleh beberapa pihak berkepentingan yang amat terdesak, dan Raja-Raja Melayu turut menegur agar kerja jelek ini dihentikan dan patuhi semangat Perlembagaan.
“Oleh itu, amaran dan waspada kepada sesiapa sahaja yang cuba menghancurkan perpaduan di negara ini, katanya.
Anwar juga mengarahkan semakan semula dibuat terhadap kontrak rangkaian 5G bernilai RM11 bilion yang dianugerahkan oleh Digital Nasional Berhad (DNB) kepada konglomerat telekomunikasi Sweden Ericsson oleh pentadbiran lalu kerana wujudnya pelanggaran serius terhadap prinsip ketelusan dan etika pemerintahan.
Comments