top of page
  • Wartawan Nabalu News

Fadillah: Kerajaan sedang bincang cadangan letak karbon di bawah KPK


1 Julai 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUCHING: Kerajaan Persekutuan sedang merangka cadangan khusus untuk mengawal aktiviti perniagaan karbon di negara ini, yang akan diletakkan di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK).


Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, yang juga menteri KPK, berkata cadangan itu sedang diperincikan dan dibincangkan dengan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, yang kini memegang bidang kuasa berkaitan karbon.


Beliau berkata kerajaan berhasrat untuk memisahkan usaha penyimpanan karbon dan carbon trading daripada kementerian tersebut dan menempatkannya di bawah KPK, selaras dengan ketetapan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa karbon adalah satu komoditi.


"Sekarang ini kerajaan sedang berbincang sama ada mungkin kita dapat pisahkan usaha penyimpanan karbon dan carbon trading untuk diletakkan di bawah KPK.


"Ini juga selari dengan ketetapan diputuskan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa karbon adalah satu komoditi, ini sedang diperincikan," katanya.


Fadillah berkata proses pemindahan bidang kuasa itu mungkin mengambil sedikit masa kerana melibatkan perubahan kementerian.


Beliau turut menyebut bahawa Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah mencadangkan agar perniagaan karbon diletakkan di bawah KPK pada April lalu, memandangkan karbon merupakan satu komoditi yang boleh diniagakan.

Kommentare


bottom of page